TURBO DIESEL EURO 5 KINI BOLEH DIDAPATI DI 70 BUAH STESEN MINYAK PETRON
Berbanding beberapa tahun lalu, akses terhadap bahan api diesel yang lebih bersih kini dilihat semakin meluas.
Antara syarikat yang menawarkan produk tersebut ialah Petron. Walaupun baru melancarkan bahan api Turbo Diesel Euro 5 pada September 2016, pelanggan kini boleh mendapatkan diesel itu di 70 buah stesen minyak Petron di seluruh negara.
“Sejak dilancarkan, kami menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada pengguna. Produk ini jelas membuktikan komitmen Petron untuk menawarkan produk inovatif. Pada masa sama memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.
“Apa yang lebih penting lagi, ia mematuhi piawaian sulfur ultra rendah Euro 5 yang secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti udara di Malaysia,” kata Ketua Perdagangan Runcit Petron, Faridah Ali.
Turbo Diesel Euro 5 ialah diesel berteknologi tinggi yang direka khas bersama bahan tabahan premium. Ia berupaya meningkatkan prestasi enjin, menjimatkan dan mengurangkan emisi berbahaya.
Diesel berkenaan juga memastikan pembakaran yang lengkap, penyuntik bahan api kekal bersih, mengurangkan lengah sewaktu penyalaan dan melindungi enjin daripada masalah kakisan.
Bahan api ini mengandungi 10ppm (bahagian persejuta) sulfur , berbanding 500ppm pada diesel Euro 2M. Oleh kerana kandungan sulfur yang sangat rendah, ia menghasilkan kurang emisi dan memenuhi spesifikasi global Euro 5.
Bagi mengetahui sendiri keberkesanan Turbo Diesel Euro 5, sekumpulan wartawan dan pelanggan setia Petron telah dipilih untuk menyertai program Petron Fuel Happy Trip 2017.
Perjalanan yang melibatkan jarak sejauh 500km itu bermula dari Damansara menuju ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Peserta berpeluang memandu beberapa model trak pikap seperti Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan Chevrolet Colorado.
Antara aktiviti menarik yang turut disediakan ialah sesi off-road menuju ke kawasan air terjun Jerangkang di Maran, Pahang.
BACA: PETRON TURBO DIESEL EURO 5 – RM2 SELITER, LEBIH BERSIH & BERKUASA
GALERI