BuletinMotosikal

TVS RR310 SUDAH TIBA DI INDONESIA. CUMA RM 14,000. BIAR BETUL?

Apa kaitannya dengan pasaran Malaysia? Jika anda masih ingat, Modenas mempunyai hubungan rapat dengan Bajaj Auto, sekutu KTM Motor dari India. Selepas China, India dilihat sebagai kuasa ekonomi dunia dan dalam sektor industri motosikal, teknologi India jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh China.

BMW Motorrad adalah contoh kredibiliti pembuat motosikal Eropah yang sanggup menjalinkan kerjasama teknologi bersama TVS dari benua yang sama sekali berbeza dengan falsafah mereka. Sejak itu, nama TVS tidak lagi hanya di kenali di India, iamula bermain di bibir peminat motosikal dan dalam diam-diam, mereka telah menghasilkan banyak produk menarik untuk pasaran global.

Salah satunya ialah RR310 ini. Asalnya, ia dikenali sebagai Apache RR310S. Versi sportbike entry level ini bersaing dalam liga 300cc di India yang terdiri daripada KTM RC390, Benelli 302R, Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha R3 (R25). 

Ia adalah motosikal dengan kerangka sama berkongsi platform dengan BMW GS310R. Tapi, ini dilahirkan untuk versi sportbike.

Dari segi rekabentuk RR310, memang cukup cantik. TVS berjaya menghasilkan rekaan moden sporty pada sebuah sportbike kecil dengan segala ciri rekaan superbike dipadankan padanya.

Ia menggunakan kerangka trellis dengan padanan roda bersaiz 110/70-17 di depan dan 150/60-17 di belakang. Gugusan lampu hadapan dan belakangnya menggunakan LED sepenuhnya. Bentangan instrumentasi juga direka dengan paparan digital penuh.

BACA: R310R – BMW PALING MURAH! RM26K SAHAJA!

RR310 menggunakan suspensi berkualiti daripada Kayaba dan brek dari Bybre. Lengan ayun belakangnya direka dengan bahan aluminium tempa menjadikannya cukup kukuh dan terbaik dalam kelasnya.

TVS RR310 dikuasakan enjin yang sama dengan G310 versi naked BMW. 

Sportbike kecil ini digerakkan oleh enjin silinder tunggal dengan penyejukan cecair, empat injap, dua  overhead camshaft dan pancitan bahan elektronik bersesaran 313cc, ia menjanjikan prestasi dinamik dan selesa. Sama ada ketika ditunggang di bandar atau laluan lebuhraya.

Dengan output kuasa 34hp pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500rpm, enjin Apache RR310 memang cukup berkuasa apabila dipadankan dengan jentera seberat 169 kilogram itu. Apache RR310 menggunakan suspensi fork jenis upside-down di hadapan dan lengan ayun aluminium bersama topang gegelung di belakang.

Roda hadapan dipasang dengan brek cakera tunggal bersama angkup empat omboh dan cakera brek berdiameter 300mm. Pada roda belakang, fungsi ini disempurnakan oleh angkup terapung 2 omboh bersama cakera brek bersaiz 240 milimeter.

Harga jualannya baru sahaja diumumkan di negara jiran kita Indonesia. Tempahan sudah dibuka. Ia dijual pada harga 49 juta rupiah atau kira-kira RM14,000 sahaja.

Agak mengejutkan jika melihat pada struktur duti motosikal Indonesia yang sangat ketat bagi motosikal berenjin lebih 250cc. Cukai untuk motosikal berkapasiti 250cc ke atas di sana sangat tinggi.

Adakah motosikal ini berpotensi masuk ke pasaran Malaysia?

Soalan yang menarik. Sebenarnya, TVS mempunyai pengedarnya di Malaysia iaitu syarikat Daju Motor Sdn Bhd.

Pada tahun lepas, mereka melancarkan dua buah motosikal di Pameran Autoshow di MAEPS Serdang. 

Kemudian senyap sunyi dan sepi.

Bila kami periksa laman web syarikat Daju Motor Sdn Bhd, kami sendiri pun keliru samada ini syarikat motor atau pengedar pakaian dalam wanita?. OK. tipu. Tapi laman web dajumotor.com ni macam perunding kewangan saja. Ke pemberi pinjaman berlesen?

Belum ada kemaskini dari pengedar. Tapi kami percaya, jenama bagus begini perlu ada pengedar yang berkemampuan. DRB-HICOM misalnya, atau Chear motor, atau MForrce Holding.

Dan kemudian, barulah kita boleh bercerita samada motosikal ini masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.

Google ads
"
"
Back to top button