Artikel Pilihan

BALIK RAYA PUNYA CERITA 2018

Lebih kurang dua minggu daripada sekarang, Umat Islam bakal menyambut perayaan Eidulfitri dan pulang ke kampung halaman adalah benda yang wajib dibuat jika tidak punya sebarang kekangan cuti. Dan, dengan sukacita besarlah hati Brader Karrager untuk berkongsi Balik Raya Punya Cerita menjelang sesi pembalikan kampung nanti.

BACA : BALIK RAYA PUNYA CERITA 2017

BACA : KEMALANGAN DAN FAKTOR-FAKTORNYA

Persediaan Sebelum Memandu

Kalau ikut ramalan Brader Karrager, Warga Kota bakal mula bergerak menuju ke kampung halaman bermula pada hari Rabu menjelang Hari Raya yang bakal jatuh pada hari Jumaat. Tidak syak lagi, pasti ramai yang bakal bergerak pada malam hari selepas waktu berbuka terutamanya yang melibatkan destinasi yang agak jauh. Jadinya, pastikan tahap kecergasan Pemandu tidak diragui. Mengantuk dan letih harus dielakkan. Selain itu, jangan lupa sediakan Power Bank dan juga lampu suluh untuk dibuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

Elakkan mengisi petrol berhampiran dengan Plaza Tol. Kemungkinan kenderaan beratur panjang cukup mudah untuk diramal. Isian semula TouchNGo pun dilupa jangan. Jika perlu membawa bekalan untuk bersahur pun molek juga. Iyalah, mana tahu R&R penuh dengan umat manusia. Berjuta kot nak balik beraya di kampung. Dan bacalah apa-apa doa sebelum memulakan perjalanan, minta dipermudahkan perjalanan.

Mulakan Pemanduan Di Lebuhraya

Usai melepasi Plaza Tol, memandulah dengan tenang sambil mendengar lagu raya yang diputarkan di radio. Jangan memandu gaya orang tak ada pedoman hidup. Kejap ke kiri. Kejap ke kanan. Dan pandulah ikut had laju kebangsaan yang dibenarkan. Sesekali nak cecah 120km/j sewaktu sedang memotong kenderaan di hadapan tak ada masalah, asalkan bukan di hadapan kamera AES. Iyalah, biasanya depan AES ini ramai yang jadi sopan sampai pandu pun setakat kelajuan siput sahaja lagaknya.

Jikalau main Daytona di Sg Wang boleh genggam dua belah tangan strereng, mengapa tidak sewaktu memandu pulang beraya dengan genggam kedua belah tangan juga kan? Dan kekal fokus dengan pemanduan. Usah ikut terlalu rapat kenderaan di hadapan. Apabila mula berhadapan dengan kesesakan yang agak mudah untuk diramal juga, maka bertabahlah. Balik Pilihanraya itu hari tempoh jem orait aja, pasti kali ini juga anda mampu mengulanginya semula.

Perangai Iblis usah dituruti dengan menggunakan lorong kecemasan. Melainkan anda benar-benar tengah cemas, maka bolehlah menggunakannya. Tapi kalau kau bukannya pandu ambulan, apahal pula nak cemas tak tentu hala kan? Dah! Dah! Masuk semula ke lorong pemanduan biasa.

Andai mengantuk menyapa dikala memandu waktu siang yang menyilau, carilah tempat yang bersesuaian untuk berhenti seketika bagi mendapatkan lelap barang seminit dua. Kalau malam hari boleh juga minum-minum, iya tak?

Kecemasan!

Allah biasa juga menguji hambaNya yang beriman mengikut kadar kemampuan masing-masing. Cemas seketika menghadapi kecemasan sudah. Jangan nak over sangat. Kekal bertenang dan banyakkan beristigfar. Sekiranya sewaktu memandu dan anda menyedari terdapatnya masalah dengan kenderaan, secara perlahan menukar lorong ke kiri untuk berhenti setelah memberikan lampu isyarat.

Carilah tempat yang selamat untuk berhenti dan jangan lupa menyalakan lampu isyarat kecemasan. Tapi tak perlulah sampai nak menggunakan kod mose pula. Hubungilah pihak pengendali lebuhraya atau syarikat penginsuran kenderaan anda untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Selamat Tiba Di Kampung Halaman

Jangan lupa untuk bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah berjaya mengharungi jem yang dasyat. Moga kesemua pembaca yang bakal pulang ke kampung halaman ke Kokdiang, Batu Pahat, Tumpat, Mentakap hatta ke Kampung Pasir Ulu Kelang sekalipun, tiba dan pulang semula dengan selamat.

Pandu cermat jiwa selamat. Eceh!

Google ads

B K

Back to top button