
UD TRUCKS LANCAR QUESTER
Pengeluar trak dari Jepun, UD Trucks Corporation dengan rasminya telah melancarkan siri trak Quester untuk pasaran Malaysia pada hari ini. Diperkenalkan oleh Tan Chong Industrial Equipment Sdn. Bhd. (TCIE), Quester dibangunkan di atas platform trak tugas berat yang baru dan moden.
Trak itu direka untuk memenuhi pelbagai fungsi dan aplikasi dalam industri perlombongan, pembinaan, pengedaran serta pengangkutan jarak jauh. Pelancaran Quester dilihat sebagai komitmen UD Trucks untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia.
“Tan Chong Industrial Equipment telah menjadi pembekal tunggal jentera UD Trucks di Malaysia selama lebih 35 tahun. Memandangkan trak terbaharu ini menampilkan teknologi canggih yang dibangunkan khas untuk dunia pengangkutan berat, kami yakin ia mampu memenuhi ekspektasi pelanggan,” kata Pengarah Eksekutif TCIE, Tan Keng Meng.
Chasis siri trak ini adalah fleksibel dan berkualiti tinggi. Justeru, ia membolehkan pengguna memilih konfigurasi trak mengikut keperluan mereka.
TCIE akan mempamerkan Quester pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS’13) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bermula dari 14hingga 24November 2013.