Buletin

CHERY MALAYSIA SUMBANG RM50,000 KEPADA KUMPULAN WANG AMANAH SUKAN NEGARA (KWASN)

Bersempena pelancaran model baharu Chery TIGGO CROSS pada 9 Julai lalu, Chery Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan Malaysia.

Sumbangan ini menandakan satu lagi langkah konkrit Chery dalam memperkukuh penglibatan komuniti, khususnya dalam memajukan atlet tempatan.

Malah, Chery turut memaklumkan bahawa sebahagian hasil jualan setiap unit TIGGO CROSS tahun ini akan disalurkan kepada KWASN, menjadikan sokongan ini berterusan.

“Di Chery, kami percaya prestasi bukan hanya tentang kenderaan, tetapi juga tentang memperkasakan insan. Inisiatif ini bertujuan membantu lebih ramai atlet dan organisasi sukan Malaysia mencapai kejayaan di peringkat tertinggi,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

Usaha ini mengukuhkan lagi komitmen Chery terhadap dunia sukan negara, susulan langkah terdahulu pada tahun 2024 apabila syarikat itu menghadiahkan kenderaan baharu kepada atlet Malaysia yang meraih pingat di Sukan Olimpik Paris.

KWASN ialah dana amanah awam di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyediakan geran bagi program dan penyertaan sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Ia turut menyokong atlet persendirian atau di bawah badan sukan kebangsaan untuk bersaing di peringkat global, dengan matlamat memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka.

Dana ini diurus dengan telus oleh sebuah jawatankuasa yang turut melibatkan wakil Kementerian Kewangan.

Chery Malaysia turut menggesa lebih banyak syarikat swasta untuk berganding bahu menyokong ekosistem sukan negara.

Selaras dengan komitmen terhadap pembangunan belia, Chery terlibat dalam pelbagai inisiatif akar umbi seperti program badminton, bola sepak, berbasikal, larian dan juga sukan pickleball.

Sejak pelancarannya, TIGGO CROSS telah menerima lebih 1,000 tempahan, menandakan sambutan hangat dari rakyat Malaysia yang menghargai rekaan pintar, teknologi hibrid, dan prestasi dinamik.

Ia ditawarkan pada harga RM88,800 (Semenanjung Malaysia) untuk varian 1.5L Turbo, dan RM99,800 untuk varian 1.5L Hybrid CSH. Kedua-dua varian kini boleh dipandu uji di semua bilik pameran Chery di seluruh negara.

Google ads
Back to top button