
UMW TOYOTA BAKAL LANCAR YARIS- INI PESAING SEBENAR HONDA JAZZ
Selain Myvi, Hatchback bagi segmen B negara kita telah lama didominasi oleh Honda Jazz. Jazz tiada pesaing terus untuk jenama Jepun kecuali pernah dicabar Swift sewaktu DRB-HICOM menjadi pengedar jenama Suzuki tak lama dahulu.
Namun selepas ketiadaan Swift, Jazz benar-benar “bermaharajalela” tanpa digugat oleh pesaing Jepunnya yang lain. Meskipun segmen ini agak “kecil” namun bayangkan berniaga tanpa pesaing, Jazz menguasai jualan dan terus menerus mendapat sambutan setiap kali model baru atau facelift diperkenalkan.
Tak lama lagi, Jazz bakal berdepan dengan seteru sebenarnya – Yaris dari Toyota. Dalam satu pengumuman sewaktu majlis bersama media semalam, UMW Toyota mengumumkan untuk membawa masuk Yaris pada tahun ini. Ia seiring dengan Toyota Supra yang juga akan diperkenalkan pada tahun ini juga.
Besar kemungkinan kita menerima spesifikasi mirip pasaran Indonesia. Yaris dikuasakan oleh enjin 2NR-FE empat silinder dengan teknologi Dual VVT-i.

Enjin yang turut digunakan pada Vios dan Perodua Myvi itu mampu menjana kuasa sehingga 107PS dan tork 140Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT.
Di Indonesia, Yaris ditawarkan dalam tiga gred iaitu E, G dan TRD Sportivo yang kemudian menjadi enam varian. Untuk lebih keseronokan memandu, varian TRD Sportivo dilengkapi mode sport/eco.

Toyota juga menawarkan rangkaian sistem keselamatan seperti tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill-Start Assist (HSA), amaran tali pinggang keledar untuk penumpang dan pemandu serta Emergency Brake Signal (varian TRD Sportivo).
Manakala sistem brek ABS, Electronic Brake Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) didatangkan sebagai ciri standard untuk semua varian.
Yaris ditawarkan pada harga bermula Rp 235 juta (RM67,400) sehingga Rp 276 juta (RM79,000) seunit dan kami menjangkakan untuk pasaran Malaysia, ia berdasarkan pada harga pasaran Honda Jazz.
- BACA: TOYOTA YARIS DILANCARKAN DI INDONESIA RM67K
- BACA: INI TOYOTA YARIS WRC 2019
- BACA: MODEL ULANGTAHUN KE-20 YARIS
GALERI
Toyota Yaris Indonesia Toyota Yaris Indonesia