Artikel PilihanSpyshot

KELIBAT UNIT UJIAN PROTON X50 (BINYUE SX11) DITEMUI

Proton sedang agresif menguji dan membuat penyesuaian terhadap model SUV kedua mereka yang dikatakan akan dikenali sebagai “X50”. Selepas melancarkan X70 pada Disember lepas, Proton akan menampilkan sebuah lagi SUV dari Geely menerusi model Binyue SX11.

Berbeza dengan X70 (Bo Yue) yang sudah berada lebih dua tahun di pasaran China, Binyue SX11 baru sahaja dilancarkan penghujung tahun lepas.

Menerusi beberapa penjelasan dari Proton sebelum ini, mereka akan melancarkan satu model baharu setiap tahun. Menepati ramalan ini ialah unit ujian yang ditemui di Melaka.

Ia bagaimanapun adalah unit asal SX11 yang masih dengan pemanduan sebelah kiri. Sepertimana produksi dan pembangunan produk kereta secara khusus, ujian ini akan memakan masa yang sangat panjang bagi menentukan spesifikasi apa yang perlu dipilih untuk disesuaikan dengan pasaran tempatan.

Selain rekaannya yang kompak, Binyue digerakkan oleh rangkaian kuasa yang canggih. Di China, SUV itu didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 turbo (dibangunkan bersama Volvo) dan 1.0 liter turbo.

Sudah pasti enjin 1.5 turbo yang mampu menjana kuasa 174hp dan tork 255Nm itu lebih menarik. Ini kerana ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 7.9 saat. Penggunaan bahan api pula sekitar 6.1l/100km.

Enjin 1,0 liter juga tiada kurang menarik. Namun di China, enjin berkuasa 136PS dan tork 305Nm ini bagaimanapun hanya dipadankan dengan kotak gear manual. Sedia maklum bahawa transmisi manual sudah hampir tiada pasaran untuk kereta penumpang baharu di Malaysia.

Geely menjadikan Binyue semakin menarik menerusi pelbagai ciri canggih di ruang kabin. Antaranya ialah ekosistem pintar Geely GKUI generasi terkini Geely Auto. Sistem tersebut membolehkan pemandu memberi arahan suara, selain membuatkan mereka sentiasa terhubung dengan dunia luar.

Inilah segmen SUV yang paling mendapat perhatian pengguna kerana harganya lebih murah, kompak dan sesuai untuk kegunaan di bandar.

Sebagai perbandingan, Binyue dijual pada harga bermula RM45,000 hingga RM71,000 di China.

Jangan harap harga begitu kalau ia dijual di sini. Tetapi, secara realistiknya, ia mungkin boleh ditawarkan pada harga bermula RM70,000 hingga RM98,000 seunit.

KREDIT: THE AJERUL

GALERI

Google ads
Back to top button