
VERSI TAMBAH BAIK AVANZA
UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan pengenalan Toyota Avanza terkini ke pasaran tempatan. Kali ini model MPV (kenderaan pelbagai guna) itu menerima perubahan signifikan merangkumi enjin, rekaan dan kemasan kabin baharu.
Seperti sebelumnya, Avanza ditawarkan dengan empat varian iaitu 1.5S Automatik, 1.5G Automatik, 1.5E Automatik dan 1.3E Manual. Turut tersedia, dua warna baharu iaitu hitam metalik dan merah (Dark Red Mica Metalik).
Avanza menggunakan enjin baharu daripada NR Siri iaitu Dual VVT-i (Variable Valve Timing with intelligence). Enjin baharu tersebut menawarkan kecekapan bahan api lebih baik dan emisi ekzos yang bersih berbanding enjin sebelumnya. Malah output yang dihasilkan lebih tinggi, manakala bunyi bising dan getaran juga dapat dikurangkan.
Sistem Dual VVT-i berkenaan diaplikasikan pada enjin 1.3-liter dan 1.5-liter. Bagi enjin 1.5-liter, kuasa telah meningkat kepada 105PS dan tork 136Nm yang kini boleh dicapai seawal 4,200rpm. Sementara enjin 1.3-liter pula menerima peningkatan signifikan iaity 97PS dengan penambahan tork 121Nm.
Selain enjin baharu, UMW Toyota turut mengoptimumkan pengurangan tekanan minyak dalam kotak gear. Di samping menggunakan kawalan pendikit elektronik bagi meningkatkan kecekapan bahan bakar. Hasilnya, Avanza dapat menjimatkan petrol lima sehingga 15 peratus (bergantung kepada keadaan jalan raya, lalu lintas dan corak pemanduan). Avanza juga kini dilengkapi indikator Eco Drive.
Agar kekal relevan, Avanza versi facelift ini telah berubah wajah. Toyata meningkatkan bahagian overhang hadapan sebanyak 50mm untuk penampilan elegan.
Avanza juga mengikuti konsep rekaan model Toyota baharu yang lain seperti Vios dan Corolla Altis. Bahagian hadapannya kini lebih tajam dan dinamik. Bagi varian Gred S, ia menerima gril dan bampar lebih sporty. Sementara G dan E digayakan supaya tampil mewah.
Lampu hadapan telah direka semula. Lampu kabus hanya ditawarkan untuk varian Avanza 1.5S dan 1.5G.
UMW Toyota turut menawarkan pakej aerokit bagi pelanggan yang menginginkan penampilan lebih sporty. Kit badan berkenaan merangkumi spoiler bampar hadapan bersama lampu nyalaan siang (DRL), spoiler bampar belakang dan skirting sisi.
Melengkapkan penampilan berkenaan, rekaan baharu rim aloi ditawarkan bagi semua varian kecuali Avanza 1.3E.
Beralih ke kabin, Avanza kini ditawarkan dengan tema warna hitam bersama kemasan perak yang memberikan ambien lebih sporty. Varian Avanza 1.5S dan 1.5G akan menerima paparan multi informasi yang diletakkan pada sebelah kanan panel meter. Ini membolehkan pemandu mengetahui penggunaan bahan api dan baki petrol.
Untuk hiburan penumpang, Avanza dilengkapi sistem 2-DIN dengan pemain CD dan ketersambungan USB dan AUX, manakala fungsi Bluetooth kini standard untuk semua varian 1.5L. Pelanggan yang ingin menaik taraf sistem audio boleh memilih DVD-AVX atau DVD-AVN. Kedua-duanya mempunyai skrin sentuh, paparan kamera undur, internet dan navigasi GPS.
Ditawarkan dengan empat varian, berikut ialah harga atas jalan bagi Avanza (termasuk GST, insurans dan warna metalik bagi Semenanjung Malaysia).
Avanza 1.5S Automatik – RM80,810
Avanza 1.5G Automatik – RM78,477
Avanza 1.5E Automatik- RM75,787
Avanza 1.3E Manual – RM69,072