Motosikal

VICTORIA MOTORRAD HIDUP SEMULA DENGAN SIMPLEE V70 – 42HP, 53NM

Victoria Motorrad merupakan antara pengeluar tertua dari Jerman dan telah menghasilkan motosikal dari 1901 hingga 1966. 

Antara model popular termasuk KR 1 yang dipacu enjin boxer dua silinder 494cc yang dibekalkan BMW. Enjin tersebut menawrakan 6.5hp dan dipadankan dengan transmisi 2-kelajuan. 

Victoria Motorrad memperkenalkan beberapa model selepas itu sehinggalah pada tahun 1966 apabila berlakunya rombakan pengurusan yang menyaksikan jenama itu terkubur. 

Bagaimanapun, Victoria Motorrad hidup semula pada Ogos 2021 selepas diambil alih pengeluar China, Ninbo Longjia Motorcycle (Longjia). 

Terbaru, Victoria Motorrad memperkenalkan Simplee V70, sebuah motosikal cruiser gaya moden untuk pasaran global menerusi satu pelancaran rasmi di China. 

Menurut Victoria, Simplee V70 dikuasakan enjin V-Twin 675cc dengan sistem penyejuk udara/minyak dan suntikan bahan api Bosch yang berupaya menjana 42hp pada 6,500rpm dan 53Nm pada 4,500rpm. 

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh, ABS dwi-saluran,  traction control, fork USD dan penyerap hentak belakang dari KYB, brek Nissin serta klac anti-lompat. 

Sesuai dengan era moden, Simplee V70 turut dilengkapkan dengan panel meter TFT 3.5-inci yang menawarkan pelbagai info termasuk tekanan tayar semasa. Sebagai sebuah cruiser untuk tunggangan jarak jauh, motosikal ini turut menawarkan tangki 21.5L. 

Untuk pasaran China, Victoria Motorrad Simplee V70 dijual pada harga CNY27,777 (RM17.9k). 

Google ads
Back to top button