Pandu Uji

MAZDA CX-5 2.2 TURBODIESEL. ADA 2 TURBO….

Penulis sedaya upaya memandu dengan berhemah selepas mengambil Mazda CX-5 2.2 Turbodiesel dari ibupejabat Bermaz di Glenmarie. Namun selepas 2 kali percubaan dengan memandu berhemah, diisi 2 kali bahan api diesel B7 hasilnya adalah lebih kurang sama. 16.5 kilometer bagi setiap liter diesel

Jadi selepas kenaikan harga mendadak diesel sebanyak 55% menjadi RM 3.35 seliter bagi diesel B10 dan RM 3.55 seliter bagi diesel B7, adakah kereta ataupun SUV dengan pilihan enjin diesel masih lagi relevan? Sedangkan jika anda membeli varian petrol, anda boleh mengisi dengan menggunakan RON 95 sahaja yang bersubsidi.

Unit ujian kali ini datang dengan pilihan warna paling premium yang ditawarkan oleh Mazda iaitu Platinum Quartz, seakan warna krim metalik dengan kemasan mutiara. Kelebihan warna begini ialah ia menghasilkan pantulan cahaya yang berbeza ketika sinaran matahari terik, petang ataupun dari sudut yang berbeza

Varian 2.2 Turbodiesel dari segi hierarki berada di kedudukan kedua selepas varian 2.5T, namun adalah sukar untuk anda membezakan antara kedua varian ini melainkan sedikit sahaja kemasan pada logo iaitu SkyActiv-D pada varian diesel.

Varian ini menerima kemasan sama seperti varian 2.5T lengkap dengan lampu depan adaptive front light yang bergerak mengikut operasi stering, rekaan rim yang sama dan juga kemasan ekzos berkembar di bahagian belakang. Mungkin juga anda akan mendengar derapan bunyi enjin diesel di luar, tetapi ia tidak kedengaran di bahagian dalam seawaktu memandu.

Berbeza dengan enjin diesel lain, enjin yang turbodiesel yang dihasilkan oleh Mazda direka melawan arus teknologi. Nisbah mampatan direndahkan kepada 14:1 sedangkan enjin diesel lain menggunakan nisbah antara 16-19:1, khusus untuk menambah masa pembakaran dalam silinder.

Rekaan ini mengurangkan penghasilan Nitrogen Dioksida, Sulfur Dioksida, asap jelaga dan enjin ini tidak memerlukan Diesel Particulate Filter untuk melepasi peraturan asap Euro 6. Sistem suntikan piezometer pula akan menyuntik 5 semburan diesel tekanan tinggi dalam satu kitaran

Sistem VVL berupaya menghasilkan kitaran ekzos gas, EGR bagi menjadikan enjin semakin efisyen dan mengurangkan pencemaran. Hasilnya enjin ini boleh direka dengan ringan, menggunakan blok aluminium, tidak bising dan boleh beroperasi pada RPM tinggi sama seperti enjin petrol

Dengan rekaan 2 turbo, enjin 2200cc 4 silinder ini menjana sehingga 188 kuasa kuda pada 4500 RPM dan 450Nm tork seawal 2000 RPM. Satu turbo beroperasi antara 1000 ke 3000 RPM manakala satu lagi turbo akan beroperasi pada 3000 RPM dan ke atas.

Rekaan dalam juga adalah sama dengan varian 2.5T, lengkap dengan semua ciri moden seperti pengecaj tanpa wayar, sambungan Apple Car Play tanpa wayar, android auto, kusyen pemandu berkuasa elektrik dengan memori serta ciri penyejukan.

Cuma bagi varian turbodiesel, tiada butang Sport Mode di sebelah tombol gear, namun anda masih boleh mengawal rentak pemanduan dengan menggunakan paddleshifter. Ruang tempat duduk belakang boleh dikira selesa, dengan sudut penyandar boleh laras, poin mengecaj dan juga corong penyaman udara.

Sebaik sahaja anda menghidup enjin, mungkin akan terdengar sedikit bunyi derapan diesel. Tetapi jika anda memandu setiap hari, mendengar sistem audio dan menumpukan perhatian bunyi tersebut hampir tidak kedengaran melainkan sengaja dicari.

Semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan automatik dengan operasi gear adalah lancar dan terasa mahal. Penukaran gear tidak dirasai melainkan anda menggunakan paddleshifter. Mazda memang meletakkan aras tinggi kepada pengeluar lain bagaimana transmisi 6 kelajuan patut beroperasi

Berbeza dengan varian 2.5 NA yang diuji sebelum ini, varian 2.2 turbodiesel menawarkan kuasa pada semua putaran enjin memberikan keyakinan kepada anda untuk memotong atau menukar lorong dengan pantas. Operasi enjin dirasakan hampir tiada langsung kesan turbolag.

Tork setinggi 450Nm juga membenarkan anda untuk memandu dengan laju di lebuhraya jika diperlukan, dengan enjin ini berkerja dengan lebih santai berbanding dengan enjin 2.5NA. Malah dari segi penggunaan bahan api, varian 2.2 turbodiesel sebenarnya jauh lebih jimat.

Kawalan stering pada laluan lurus juga meyakinkan, menjadi semakin berat apabila halaju bertambah. Namun sama seperti kebanyakan SUV lain, kawalan cesi ketika melalui selekoh masih tidak boleh melawan sedan ataupun hatchback disebabkan pusat graviti CX-5 yang tinggi, namun jauh lebih baik daripada kebanyakan SUV.

Sistem brek juga adalah sama seperti sistem brek varian 2.5 NA, terasa lembut dan meluncur pada halaju rendah. Tetapi jika anda memandu dengan laju, kuasa membrek yang ditawarkan adalah cukup memuaskan hati.

Tetapan suspensi Mazda adalah sedikit keras berbanding dengan pesaing yang lain, dan ditambah dengan rekaan sistem stering ratio pendek membenarkan anda mengambil selekoh dengan yakin terutama di selekoh panjang.

Sistem Mazda G-Vectoring Plus akan mengurangkan kuasa enjin sebaik sahaja mengesan pemandu memberi input ketika selekoh. Sebagai tambahan, sistem ini juga akan membrek roda depan sewaktu keluar dari selekoh bagi mengurangkan kesan weight transfer yang berlaku

Hasilnya anda boleh memandu dengan yakin makanakala penumpang belakang terasa kurang penat akibat pergerakan cesi. Mazda CX-5 2.2 Turbodiesel ini terasa lebih “hidup” jika dipandu dengan laju dan bersemangat

Tetapi jika anda memandu dengan tenang, anda boleh mendapat penjimatan bahan api sekitar 16.5km/liter, jauh mengatasi angka rasmi yang diberikan oleh Mazda sekitar 13km/liter.

Satu lagi aspek yang disukai oleh penulis ialah sistem Adaptif Front Light System, yang membenarkan lampu utama menyuluh jalan mengikut input stering. Ditambah dengan rekaan lampu depan LED projektor dan sistem Auto High Beam, memang terasa cukup terang lampu CX-5 ini walaupun rekaan lampu nampak ringkas sahaja

Namun sama seperti varian CX-5 yang lain, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh Mazda. Antaranya ialah sistem paparan kamera 360 darjah yang kurang tajam, rekaan suis di stering yang terasa sudah ketinggalan dan juga pada hemat penulis tambahan lampu kabin pada waktu malam boleh menjadikan ruang kabin kelihatan lebih mewah

Jika anda rasakan varian 2.5T adalah terlalu mahal dan penggunaan bahan api adalah tinggi, maka anda boleh mempertimbangkan varian 2.2 Turbodiesel yang dijual dengan harga sekitar RM 182,732 ini. Ia lebih jimat bahan api daripada 2.5T dan lebih berkuasa daripada 2.5NA.

Ia adalah SUV prestasi tinggi yang seimbang dari segi rekaan luar, kuasa, penjimatan bahan api dan kepuasan pemanduan. Jika anda sudah biasa menggunakan petrol RON97 yang dijual dengan harga RM 3.47 seliter, maka harga diesel B7 RM 3.55 sebenarnya tidak jauh beza sangat.

Kalau anda rasa harga CX-5 2.2 turbodiesel ini mahal dan harga diesel B7 ini mahal, maka SUV ini bukan untuk anda sebenarnya.

Google ads
Back to top button