
VIPER NIZA RACING SEDIA CIPTA SEJARAH DI PERLUMBAAN 12 JAM MISANO
Italy bakal menjadi gelanggang penting buat pasukan Viper Niza Racing apabila mereka bersedia untuk membuat penampilan sulung dalam perlumbaan 12 Jam Misano yang berlangsung pada 23 hingga 24 Mei 2025.
Perlumbaan ini akan diadakan di Misano World Circuit Marco Simoncelli, sebuah litar yang lebih sinonim dengan MotoGP, khususnya Grand Prix San Marino.
Ini merupakan kali pertama Viper Niza Racing turun berlumba di litar tersebut dan satu cabaran baharu yang menjanjikan pengalaman unik bagi seluruh pasukan.

“Kami belum pernah berlumba di Misano, jadi semuanya serba baharu buat kami,” kata pemandu utama dan Prinsipal Pasukan, Douglas Khoo.
“Litar ini kelihatan agak mendatar, dengan perubahan ketinggian yang sangat minimum, sesuai untuk motosikal. Ia juga sempit, jadi peluang untuk memotong mungkin terhad.”
Bagi menyesuaikan diri, pasukan ini kini giat melakukan latihan simulasi, termasuk mengkaji titik membrek dan pendekatan terbaik bagi setiap selekoh melalui rakaman dalam kereta dari perlumbaan sebelumnya.
Beberapa selekoh digambarkan sebagai sangat laju dan menuntut tahap fokus tinggi dari para pemandu.
Khoo akan bergandingan bersama Dominic Ang dan Melvin Moh, dibantu kru teknikal sepenuhnya dari Malaysia.

Walaupun rasa teruja bercampur kebimbangan menyelubungi pasukan, mereka hadir ke Misano dengan semangat tinggi selepas mencatatkan prestasi cemerlang musim ini, berada tempat keenam keseluruhan, keempat dalam kelas GT3, dan naib juara dalam kelas GT3 AM pada Michelin 12 Jam Spa Francorchamps, serta kejayaan meraih kejuaraan GT AM Masters dan tempat kedua GT AM di Motul 12 Jam Sepang.
Buat perlumbaan di Misano, Viper Niza Racing akan terus menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO tanpa sebarang naik taraf baharu.
Menurut Khoo, hanya beberapa komponen akan diganti akibat penggunaan. “Kami akan hanya mengetahui pelarasan terbaik apabila mula mencuba jentera dalam sesi latihan nanti,” tambahnya.
Litar Misano sepanjang 4.226km ini mengandungi 16 selekoh dan berpusing mengikut arah jam. Dibuka pada 1969, litar ini telah beberapa kali diperluas terakhir pada 2008 untuk menjadi seperti bentuknya sekarang.
Reka bentuknya memerlukan tahap ketahanan tinggi baik dari jentera mahupun pemandu, dengan gabungan lurusan laju, selekoh teknikal, dan selekoh perlahan.
Catatan masa terpantas keseluruhan dipegang oleh jentera Formula E Porsche pada 1:18.582, manakala rekod oleh jentera lumba konvensional ialah 1:48.50, dan MotoGP oleh Ducati pada 1:30.03.
Perlumbaan 12 Jam Misano mula diperkenalkan dalam kalendar kejuaraan ketahanan dunia pada tahun 2024, dan dalam edisi sulungnya, Audi mendominasi podium dengan kemenangan dalam kelas GT3 serta GT3 AM menerusi model R8 LMS GT3 EVO II.