,
Artikel Pilihan

PASUKAN VIPER NIZA RACING KETUAI CABARAN MALAYSIA DALAM PERLUMBAAN WTCR

Selepas Berjaya memenangi kelas perlumbaan mereka dalam perlumbaan TCR SPA500 24-jam di Belgium, pasukan Viper Niza Racing kini akan mengetuai cabaran Malaysia dalam perlumbaan World Touring Car Race of Malaysia (WTCR) yang akan berlangsung dari 13-15 Disember 2019 di Litar Antarabangsa Sepang.

Pasukan ini akan diketuai oleh pelumba veteran kelas touring, Douglas Khoo yang juga merupakan salah seorang daripada tiga pelumba wildcard Malaysia yang turut menyertai perlumbaan yang julung kali diadakan ini. Beliau akan memandu kereta Seat Leon Cupra TCR.

Khoo yang juga merupakan pemilik pasukan Viper Niza Racing Team juga menyatakan kebanggaan beliau kerana boleh menyertai kelompok pemandu-pemandu dan jentera-jentera WTCR yang terbaik di dunia di gelanggang sendiri.

Mereka tidak menetapkan sasaran yang terlalu tinggi tetapi kemenangan di Belgium baru-baru ini sedikit sebanyak memberikan mereka keyakinan dan sekaligus menarik perhatian antarabangsa kepada pasukan.

Perlumbaan endurance memang sangat berbeza berbanding perlumbaan pantas WTCR yang bakal berlangsung dalam 3-perlumbaan dan setiap set perlumbaan mengandungi 9-12 pusingan. Mereka bagaimana pun berjanji untuk memberikan persembahan terbaik di Sepang.

Dengan ketiga-tiga perlumbaan bersenggang beberapa jam antara satu sama lain (3pm, 6pm dan 8pm) mereka perlu memastikan segalanya berjalan lancer sekaligus menamatkan perlumbaan dan mencuba untuk mendapat kedudukan 10-terbaik.

Latar belakang perlumbaan Khoo sendiri termasuk perlumbaan TCR Asia Series 2015, 2016, 2017 dan 2018, TCR International Series 2015 dan 2016, Thailand Series 2016 dan 2017, TCR Asia International Series 2019, Asia Le Mans Series 2017, 2018 dan 2019, Blancpain GT Series 2017 dan 2019, Michelin Le Mans Cup 2019 dan Sepang 12-hour Endurance Challenge 2015 dan 2016.

Perlumbaan WTCR World Touring Car Race of Malaysia ini akan mengumpulkan hampir 30 pelumba touring terbaik dunia antaranya ialah Yvan Muller, Gabriele Tarquini, Tom Coronel, Robb Huff, Augusto Fafrus, Esteban Guerrieri, Andy Priaulx dan Tiago Monteiro yang mewakili sebahagian pengeluar seperti Hyundai, Seat, Lynk & Co, Audi, Volkswagen, Honda dan Alfa Romeo.

Disokong oleh hampir kesemua jurutera dan mekanik dari Malaysia, Pengurus Viper Niza Racing Team, Niko Ode Prayitno menyatakan yang mereka akan mengumpul sebanyak mungkin data di Sepang untuk kegunaan dalam perlumbaan selepas ini.

Cabaran utama tentulah daripada kelompok pemandu terkenal dan sangat berpengalaman selain cuaca monsun yang sedang melanda Malaysia pada penghujung tahun ini. Sedikit sebanyak ia sudah tentu akan mempengaruhi keputusan perlumbaan.

Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan Viper Naza Racing Team dalam perlumbaan WTCR World Touring Car Race yang akan diadakan Disember ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Tags
Google ads
Back to top button