Buletin

VIRGIN ORBIT, MILIK RICHARD BRANSON FAIL BANKRAP, BUANG 85 PERATUS PEKERJA

Pengasas Virgin Orbit, Richard Branson telah memfailkan perlindungan kebankrapan Bab 11 selepas ia gagal mendapatkan pembiayaan untuk meneruskan operasi.

Bab 11 ialah salah satu daripada bab Akta Kebankrapan Amerika Syarikat bagi mengawal perniagaan yang tidak lagi mampu membayar pemiutang.

Minggu lepas, syarikat berpangkalan di California itu mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan 85 peratus daripada 750 tenaga kerjanya.

Roket Virgin Orbit juga gagal melengkapkan pelancaran satelit pertamanya dari United Kingdom pada awal tahun ini.

“Pada peringkat ini, kami percaya bahawa proses Bab 11 adalah laluan terbaik untuk mengenal pasti dan memuktamadkan jualan serta memaksimumkan nilai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Orbit, Dan Hart.

Virgin Orbit menyenaraikan aset kira-kira AS$243 juta (RM1 bilion) dan jumlah hutang AS$153.5 juta (RM674 juta) pada 30 September 2022, menurut salinan pemfailan kebankrapan syarikat.

Menurut laporan, Virgin Investments, satu lagi firma Branson, menyediakan dana sebanyak AS$31.6 juta (RM139 juta) kepada Virgin Orbit sementara ia mencari pembeli baharu.

“Walau bagaimanapun, pembiayaan besar ini tidak mencukupi untuk mengatasi segala halangan sedia ada dihadapi oleh Virgin Orbit,” tambah Dan Hart.

Untuk rekod, harga saham Virgin Orbit turun sehingga 27 peratus dalam perdagangan prapasaran manakala stok turun 90 peratus setakat tahun ini.

Google ads
Back to top button