Buletin

LAWRENCE STROLL TAMBAH PEGANGAN SAHAM ASTON MARTIN, ELAK DIAMBIL ALIH OLEH GEELY

Pengerusi eksekutif Aston Martin, Lawrence Stroll menerusi Yew Tree investment group telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam syarikat kereta sport berkenaan kerana bimbang Geely membuat pengambilan yang agresif.

Zhejiang Geely Holding Group memperoleh 7.6 peratus kepentingan dalam syarikat pembuat kereta sport dari British, Aston Martin pada Oktober lalu.

Ini bermakna Geely yang turut memiliki Lotus, Volvo, Polestar dan pelbagai jenama lain itu menjadi pemegang saham keempat terbesar dalam Aston Martin.

Yew Tree menjadi pemegang saham terbesar dalam Aston Martin dengan pegangan sebanyak 18.3 peratus. Namun dengan pendekatan terbaru melibatkan suntikan dana sekitar AS$52 juta (RM230 juta), membolehkan Yew Tree memegang kepentingan sebanyak 28.29 peratus dalam Aston Martin.

Selepas Yew Tree mula memperoleh sejumlah besar saham bulan lalu, Stroll berkata: “Sebagai sekumpulan pelabur, kami berkongsi kepercayaan bahawa Aston Martin tidak dinilai dengan rendah walaupun menghadapi cabaran rantaian bekalan baru-baru ini.”

Geely mengambil pegangan sahamnya dalam Aston kira-kira AS$69 juta (RM309 juta) pada awal tahun ini, apabila pembuat kereta sukan Britain itu mengeluarkan saham tambahan untuk mengumpul sekitar AS$693 juta (RM3 bilion) untuk membayar hutang dan mengurangkan beban pembayaran faedah.

Aston Martin turut dimiliki oleh pemegang saham lain termasuk Saudi Public Investment Fund (18.7 peratus) dan Mercedes-Benz (9.7 peratus).

Bloomberg melaporkan bahawa pemilik Geely, Li Shufu memang berminat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peratus lagi kepentingan bagi merapatkan lagi hubungannya dengan Aston Martin.

Stroll turut mendedahkan dia dan rakan-rakannya di Aston Martin menolak tawaran modal sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.7 bilion) daripada firma itu kerana menyifatkannya sebagai tawaran “menyamar” untuk mengambil alih syarikat “dengan harga murah”.

Google ads
Back to top button