VOLKSWAGEN ARTEON R-LINE 4MOTION KINI DILENGKAPI IQ.DRIVE. SISTEM KESELAMATAN LEBIH PADU, BERMULA RM300K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini memperkenalkan model utama Arteon R-Line 4MOTION yang telah dipertingkatkan dan kini dilengkapi teknologi IQ.DRIVE.
Ciri-ciri baharu IQ.DRIVE merangkumi Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan selamat. Ia juga hadir dengan port pengecasan tanpa wayar.
Sedan itu menggunakan enjin turbo 2.0L TSI yang mampu menjana kuasa 280PS dan tork 350Nm. Dipadankan dengan kotak gear klac basah tujuh kelajuan DSG direct shift, fastback itu boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4L/100km.
Luaran
Dengan rekaan luaran dan garis badan yang tersendiri, Arteon nyata memberikan gayaan berani. Garis badan yang mantap pada keseluruhan kereta memberikan visual badan lebih rendah, seterusnya menyerlahkan penampilan yang dinamik.
Lampu utama dilengkapi ciri Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), manakala lampu belakang LED 3D hadir dengan lampu membelok sequential. Arteon didatangkan dengan ciri All Weather Light untuk memberikan iluminasi lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap.
Personalisasi Pengalaman Pemanduan
Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) sehingga 15 tetapan tertentu dan lima mode pemanduan – Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual.
Ketersambungan
Di belakang stereng terdapat paparan Digital Cockpit beresolusi tinggi bersaiz 11.7” yang memaparlam pelbagai maklumat penting jika diperlukan. Sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang hadir dengan kawalan suara dan gestur menyokong ketersambungan tanpa wayar App-Connect untuk Apple Car Play dan Android Auto. Skrin sentuh itu juga menawarkan pandangan skrin terpisah yang boleh dikonfigurasi.
Keselamatan
Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, Arteon dilengkapi pelbagai ciri seperti Bantuan Hadapan (Front Assist), Kawalan Jelajah Daptif (Adaptive Cruise Control), Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist).
Rear Cross Traffic Alert memberi amaran kepada pemandu mengenai kehadiran objek dalam sudut 180 darjah dengan jarak sehingga 50 meter dan kelajuan mencecah 12km/j ketika mengundur kenderaan.
Sistem 360° Area View menggunakan empat unit kamera yang diletakkan di posisi stretegik untuk memaparkan pandangan 360°. Ia membolehkan pemandu melihat kawasan sekeliling untuk memarkir kenderaan dengan lebih mudah.
Satu lagi ciri keselamatan ialah Post Collision Braking System yang mengurangkan risiko pelanggaran kali kedua selepas impak pertama; Intelligent Crash Response System (ICRS) pula mengambil langkah preventif ketika kemalangan dengan menyekat bekalan bahan api, membuka pintu dan menyalakan lampu amaran; manakala ciri Electronic Different Lock (XDS) menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer.
Ciri keselamatan standard pada Arteon termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Active Bonnet untuk perlindungan pejalan kaki. Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (Tyre Pressure Monitoring System) memantau tekanan setiap tayar, sementara Manoeuvre Braking akan menekan brek secara automatik apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10km/j.
Ruang dan Kemudahan
Arteon menetapkan standard berkaitan ruang. Rekaan hatch belakang yang boleh dibuka luas menawarkan ruang sebesar 563 liter, terbaik dalam kelasnya. Sebagai tambahan, ciri Easy Open dan Easy Close menawarkan bukaan dan penutupan but secara bebas tangan, sekali gus memberikan kemudahan untuk pemandu mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan mudah.
Warna
Tiga warna metalik ditawarkan: kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna dengen efek mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).
Harga
Harga cadangan (RRP) untuk Arteon R-Line 4MOTION baharu ialah RM299,990. Ia turut disokong oleh penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.