RENAULT ZOE 2023 RASMI DILANCARKAN. 2 VARIAN, 135PS/245NM, BERMULA RM165K. LANGGANAN RM2,799 SEBULAN
TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan EV Renault Zoe ke pasaran tempatan.
Seperti yang diumumkan sewaktu prebiu tahun lalu, Renault Zoe baharu didatangkan dalam dua varian. Harga rasmi untuk varian asas Zoe R110 ialah RM165,000 seunit, manakala Zoe R135 dengan spesifikasi lebih tinggi berharga RM179,000 (di atas jalan tanpa insurans).
“Dengan kewujudan lebih 110 pusat pengecasan 22 kW AC di seluruh Semenanjung Malaysia, salah satunya terletak di bilik pameran utama Renault di Petaling Jaya, pelanggan Zoe baharu tidak perlu bimbang kerana mereka mempunyai akses mudah terhadap pengecas AC yang sememangnya lebih murah berbanding DC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Wong Hoe Mun. .
Mereka yang berminat untuk melanggan Zoe baharu boleh mendapatkan Fixed Plan menerusi platform Renault Subscription. Ada tiga pelan yang ditawarkan iaitu setahun, dua tahun dan tiga tahun dengan kadar bermula RM2,799 sebulan untuk Zoe R110 dan RM2,999 sebulan bagi Zoe R135.
Proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.
EV ini menampilkan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52kWh. Hasilnya, ia mampu menawarkan lebih kuasa dengan peningkatan lebih 20 peratus berdasarkan kepada piawaian WLTP – 395 km untuk Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135 yang lebih berkuasa.
Kedua-dua varian itu menggunakan kotak gear satu kelajuan untuk menggerakkan roda hadapan, tetapi dengan konfigurasi motor yang berbeza. Zoe R110 dilengkapi motor berkuasa 80kW yang menawarkan kuasa 110PS dan tork 225Nm. Angka itu membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135km/j.
Zoe R135 menerima motor 10 0kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135PS dan tork 245Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan pecutan maksimum 140 km/j.
Renault Zoe baharu menyokong pengecasan pantas sehingga 50 kW dengan sambungan CCS2 yang membolehkan pengecasan dari 10-80 peratus dalam masa 70 minit. Manakala pengecasan menggunakan AC Type 2 22 kW menawarkan 0-100 peratus dalam masa yang mendahului kelasnya iaitu hanya tiga jam.
Mode B pula berfungsi meningkatkan kecekapan brek regeneratif Zoe baharu, dengan menukar tenaga kinetik menjadi elektrik sebanyak mungkin untuk meningkatkan jarak perjalanan.
Mode B juga menjadi pemanduan lebih mudah, terutama di bandar atau dalam kesesakan jalan raya. Ia meningkatkan aspek nyahpecutan sebaik sahaja pedal dilepaskan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menekan brek.
Rekaan luaran yang tersendiri
Walaupun dimensi Renault Zoe baharu kekal sama (4,087mm panjang, 1,562mm tinggi, 1,945mm lebar), penambahbaikan yang besar pada bahagian luaran menjadikannya lebih menarik dan tersendiri.
Hud hadapan telah direka semula sepenuhnya dengan penampilan yang lebih maskulin. Kontur baharu terarah ke bahagian tengah wajah dengan holografik logo permata Renault, yang menempatkan ruang pengecasan baharu.
Bampar hadapan baharu membuatkan penampilan keseluruhan Zoe baharu nampak lebih lebar. Ia turut dipasang dengan kemasan krom pada gril, lampu utama dan di sekeliling lampu kabus, sekali gus meningkatkan rupa bahagian bawahnya. Corong pengambilan udara pada bahagian sisi direka khas untuk menambah baik aliran angin, seterusnya mengurangkan halangan aerodinamik demi memberikan pengendalian serta jarak yang lebih baik.
Renault Zoe baharu juga dipasang dengan lampu LED sepenuhnya yang merangkumi lampu utama Pure Vision, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk C, lampu kabus, lampu isyarat membelok belakang dinamik dan amaran isyarat membelok pada cermin sisi.
Kedua-dua varian dilengkapi rim aloi lima jejari bersaiz 16 inci, brek cakera di depan dan belakang bersama tayar bersaiz 195/55.
Ruang dalaman kontemporari, terhubung dan mesra alam
Kabin Renault Zoe dimodenkan dengan panel instrumen digital untuk pemandu bersaiz 10 inci yang telah direka semula. Paparan boleh ubah itu memaparkan sistem bantuan pemanduan utama dan semua tetapan spesifik dengan pemanduan elektrik seperti eco-meter. Panel itu juga memaparkan indikasi GPS pada varian Zoe R135 yang hadir dengan navigasi secara offline sebagai ciri standard. Sebagai tambahan, paparan horizon dan kesan perspektif yang pelbagai membantu pemandu agar lebih fokus ketika memandu.
Sistem infohibur Renault Easy Link boleh diakses menerusi paparan media skrin sentuh berukuran 9.3 inci yang menyokong ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Ia juga menawarkan ketersambungan Bluetooth, dua port USB dan port audio auxiliary. Sistem audio dengan enam unit pembesar didatangkan sebagai ciri standard.
Kedua-dua varian hadir dengan cermin yang boleh ditala secara elektrik (boleh dilipat untuk Zoe R135), sensor parkir belakang, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED sepenuhnya, kawalan suhu automatik dan panel kawalan baharu yang lebih ergonomik.
Zoe R135 ditambah dengan dua port USB di belakang, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.
Zoe baharu menampilkan inovasi penggunaan material mapan. Upholsteri fabrik baharu adalah 100 peratus kitar semula menggunakan yarn sisir kasar, pertama dalam industri automotif. Yarn tersebut dibuat daripada tali pinggang keselamatan dan material plastik terbuang. Ia diperoleh dan dikilang berdasarkan kepada kitaran prinsip ekonomi yang membantu mengurangkan pengeluaran CO2 sehingga lebih 60 peratus.
Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula jadi berwarna hitam. Sementara Zoe R135 menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik.
Upholsteri fabrik kitar semula yang sama turut digunakan pada band horizontal di tengah papan pemuka. Keseluruhan papan pemuka itu telah direka semula, melibatkan aspek susun atur, penggunaan material baharu yang lembut dan integrasi beberapa skrin berbeza.
Kini lebih ergonomik, butang kawalan jelajah diletakkan di belakang stereng yang turut menampilkan material kitar semula PET.
Renault juga memasang Zoe baharu dengan cermin utama akustik, seterusnya mengurangkan impak bunyi bising dari luar. Sementara motor elektrik menawarkan pemanduan yang lebih senyap dan menyeronokkan.
Terdapat banyak ruang yang berguna di dalam Zoe. Konsol tengah baharu kini menawarkan dua kali ganda ruang penyimpanan yang merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar. Ruang but bagaimanapun tidak berubah iaitu 338 liter.
Rangkaian ciri bantuan pemanduan termaju
Infrastruktur elektrikal Renault Zoe baharu yang telah direka semua membolehkannya diintegrasikan dengan sensor-sensor baharu dan fungsi automatik untuk pelbagai sistem bantuan pemandu.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan empat beg udara (dua di depan dan dua di bahagian sisi), selain ciri amaran penukaran lorong (lane departure warning, LDW), kawalan kestabilan elektronik (electronic stability control, ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (emergency brake assist, EBA) dan bantuan mendaki (hill start assist, HSA). Zoe R135 pula ditambah dengan ciri lampu tinggi adaptif (adaptive high beam, AHB), amaran titik buta (blind spot warning) dan bantuan parkir bebas tangan (hands-free park assist).
Warna luaran, kebolehdapatan dan opsyen kos
Renault Zoe R110 didatangkan dalam warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu.
Setiap Renault Zoe dilengkapi kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas boleh alih.
Bagi memudahkan urusan mengecas, pelanggan yang membeli atau melanggan diberi pilihan pemasangan asas pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.
Penghantaran pertama Renault Zoe baharu semua sudah ditempah. Pelanggan yang membuat tempahan untuk membeli atau melanggan model penghantaran seterusnya dijangka menerima kereta masing-masing pada Jun atau Julai 2023.
Untuk lebih mudah, pelanggan boleh membeli atau melanggan Zoe baharu menerusi Renault E-Store, yang akan memudahkan proses pembelian secara digital.
Rangkaian Servis dan Jaminan
Pelanggan boleh menyelenggara Renault Zoe mereka di enam pusat servis Renault sah di seluruh negara oleh juruteknik yang dilatih untuk menyokong model-model Renault E-Tech seperti Renault Zoe.
Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.
Zoe baharu kini sedang dipamerkan di bilik-bilik pameran Renault yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.
Untuk membeli atau melanggan Renault Zoe baharu, sila layari Renault E-Store.