Buletin

VOLKSWAGEN PASSAT ELEGANCE. DSG KLAC BASAH 7-KELAJUAN, RM187,990 SAHAJA

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Passat 2.0TSI Elegance baharu di Malaysia, hanya empat bulan selepas ia diperkenalkan di pasaran Jerman pada September lalu.

Passat tampil dengan rekaan luaran dan dalaman serba baharu, aspek ketersambungan yang telah ditambah baik dan signatur lampu yang dikemas kini.

Sama seperti model-model sebelumnya, ia pantas mandapat perhatian dalam segmen kenderaan keluarga/eksekutif.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan bahawa Passat merupakan ikon yang tersendiri dan menjadi pilihan dalam kalangan eksekutif di seluruh dunia.

“Dengan lebih 30 juta unit berjaya dijual hingga ke hari ini, ia berada di kedudukan kedua selepas model ikonik Golf yang merupakan model paling berjaya pernah dihasilkan oleh Volkswagen,” katanya.   

Sudah memasuki generasi kelapan, Passat mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2006. Pemasangan tempatan bermula pada tahun 2011 di Pekan, hasil kerjasama di antara Volkswagen AG dan DRB-Hicom. Hari ini, Passat merupakan salah satu model Volkswagen yang paling berjaya.

Enjin dan Prestasi

Passat dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift 7-kelajuan (DSG) baharu dan telah ditambah baik. Ia mampu menjana kuasa sehingga 190PS dan dan tork 320Nm.

Menjanjikan gabungan terbaik di antara prestasi dan penjimatan, Passat menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.5l/100 km.

Ketersambungan  

Sedan eksekutif itu menawarkan ketersambungan pintar di hujung jari anda. Digital Cockpit bersaiz 11.7” baharu dan telah ditambah baik menawarkan kejelasan yang luar biasa.

Terima kasih kepada paparan warna transistor filem nipis (TFT) beresolusi tinggi yang sama seperti telefon pintar premium. Ia menawarkan pelbagai fungsi, selain memaparkan grafik 2D dan 3D untuk tujuan navigasi serta media.

Enam pandangan skrin boleh ubah pula menawarkan aspek personalisasi ke satu tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

Sistem infohibur jelas mengagumkan. Skrin sentuh bersaiz 9.2 inci itu kini lebih mudah dioperasi dengan kawalan suara, gestur dan skrin pandangan yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Ciri AppConnect tanpa wayar dengan Apple CarPlay turut ditawarkan pada Passat buat pertama kalinya di Malaysia.

Ciri-ciri lain termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan yang luas menerusi skrin paparan sentuh kapasitif, tiga port USB-C serta ketersambungan Bluetooth untuk penstriman audio dan peranti mudah alih.

Luaran

Dengan penampilan yang lebih mantap dan dinamik, Passat merupakan hasil penambahbaikan ke atas satu konsep reka bentuk yang telah terbukti.

Rekaan baru profail hadapan dan belakang membezakan Passat baharu dengan model terdahulu. Perbezaan lain termasuklah perkataan “Passat” yang dilekatkan pada bahagian belakang dan rim aloi “Liverpool” bersaiz 18 inci.

Karekter Passat diserlahkan lagi dengan lampu signatur yang telah direka semula. Sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan di hadapan, belakang serta rekaan lampu belakang melengkapkan lagi penampilannya.

Ruang kabin

Ruang dalaman Passat menggunakan pelbagai material baru dan elemen reka bentuk menarik yang dapat mencipta ambien lebih mewah serta bergaya.

Antara aspek yang telah dinaik taraf ialah kemasan pintu rekaan baru, 30 pilihan warna lampu ambien dan stereng multi fungsi dibalut kulit. Stereng itu dilengkapi butang multi fungsi yang ergonomik untuk ketersambungan dengan satu sentuhan butang sahaja.

Keselesaan sememangnya satu keutamaan, jadi tempat duduk Passat dibalut dengan kulit lembut dan 12 talaan secara elektrik bersama sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon untuk semua penumpang. Ciri baru yang turut dipasang ialah pelindung cahaya matahari cermin belakang kuasa.

But seluas 586 liter memberikan cukup ruang kepada pemandu dan penumpang untuk meletak bagasi mereka.

Keselamatan

Keselamatan merupakan aspek penting pada semua kenderaan Volkswagen. Jadi, ciri baharu yang ada pada Passat ialah Side Assist dengan Rear Cross Traffic Alert, lengkap bersama jarak pengesanan 18 darjah sehingga 50 meter.

Ketika memandu, Sistem Pemantauan Titik Buta pada Passat memastikan kereta sentiasa berada dalam laluannya, dengan jarak pengesanan mencecah 70 meter.

Ciri kemudahan yang turut ditambah ialah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dengan alat pengesan bersepadu pada keempat-empat unit tayar. TPMS berfungsi memantau bacaan tekaan setiap tayar berdasarkan kepada kehendak pengguna.

Ciri-ciri keselamatan yang lain termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

Warna dan varian

Passat Elegance didatangkan dalam enam warna dan dua kemasan. Warna-warna metalik terdiri daripada warna biru, kelabu, perak dan coklat.

Sementara warna dengan efek mutiara ialah hitam dan putih yang baru. Warna-warna mutiara ini boleh didapati tanpa sebarang penambahan harga.

Harga

Passat Elegance ditawarkan pada harga RM187,990 seunit. Untuk tempoh terhad, ia hadir bersama insurans percuma selama setahun. 50 orang pelanggan pertama juga akan menerima sepasang cermin mata hitam TVR (Total Vintage Revival) bernilai RM1,890.

Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my 

Tags
Google ads
Back to top button