VOLKSWAGEN PASSAT R-LINE 2022. SISTEM BUNYI HARMAN KARDON, BERMULA RM212K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini melancarkan Passat R- Line 2022 yang merupakan sebuah model naik taraf.
Perincian yang halus juga telah ditambah pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih mewah. Ciri paling ketara ialah sistem audio premium Harman Kardon yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara berprestasi tinggi dan amplifier 700-watt (termasuk sebuah subwoofer).
Ia mampu menawarkan kualiti akustik yang padu dalam empat mode iaitu Pure, Chill Out, Live dan Energy. Kawalan pendingin hawa dengan sentuhan haptik yang ringkas dan mudah digunakan turut disediakan.
Dipasang di Pekan, Passat R- Line baharu hadir dalam lima warna termasuklah warna perak (Scale Silver) baharu. Ia menjadi model kedua di Malaysia yang menerima logo baharu Volkswagen.
Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI dan transmisi klac basah DSG 6-kelajuan yang mampu menjana 220PS dan tork 350Nm, Passat R-Line baharu menjanjikan pemanduan mengujakan.
Pengalaman memandu dipertingkatkan lagi dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu mengubah suai gaya pemanduan mengikut keperluan. Penjimatan bahan api adalah sekitar 6.9l/100km.
Pilihan untuk warna metalik ialah perak (Scale Silver), biru (Aquamarine Blue), dan kelabu (Manganese Grey); manakala warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) ialah warna mutiara yang ditawarkan tanpa kos tambahan.
Dengan pengecualian cukai jualan sekarang, Passat R-Line ditawarkan pada harga bermula RM211,916.88 seunit. Ia juga hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.