
PELANGGAN MODENAS BOLEH TEBUS BAUCAR SEHINGGA RM1K UNTUK BAIKI ATAU BELI MOTOSIKAL
Selaras dengan inisiatif Kerajaan dalam membantu mangsa banjir kilat baru-baru ini, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (“MODENAS”) bersama-sama wakil pengedar yang mengambil bahagian akan menerima Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bernilai sehingga RM1,000 sebagai bentuk pembayaran.
Baucar tersebut sah sehingga 31 Mac 2022, seperti yang telah diumumkan baru-baru ini.
Di bawah program tersebut, pelanggan MODENAS yang motosikal mereka rosak akibat banjir kini boleh menebus baucar RM1,000, seperti yang tertakluk di dalam terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Program itu juga menawarkan diskaun tambahan sebanyak 25 peratus untuk semua caj buruh dan kos alat ganti.
Baucar tersebut boleh diterima sebagai bayaran pendahuluan atau sebahagian bayaran untuk menggantikan motosikal baharu sekiranya motosikal sedia ada total loss (tertakluk kepada terma dan syarat).
“Kami di MODENAS sedaya upaya menyokong usaha murni ini. Dengan usaha kecil ini, kami harap mangsa banjir dapat kembali bangkit untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.
Maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-880-181, WhatsApp Careline di 019-570 8135 atau hubungi pusat perkhidmatan MODENAS yang mengambil bahagian seperti di pautan http://modenas.my/v2/baucar-diskaun-automotif/