VOLKSWAGEN TAREK – CROSSOVER ENTRY LEVEL BAHARU UNTUK BENUA AMERIKA
Volkswagen baru-baru ini memberi bayangan bahawa ia akan menawarkan sebuah crossover entry-level baharu dikenali sebagai Tarek.
Merupakan versi tambah baik model Tharu, jentera itu akan dijual di pasaran Amerika Utara dan Selatan.
Untuk pasaran Amerika Utara, ia akan dihasilkan di Mexico, manakala kilang di Argentina membekalkan Tarek bagi pasaran Amerika Selatan.
Volkswagen mengumumkan berita tersebut dalam satu acara di kilang Pacheco yang kini bertanggungjawab menghasilkan trak pikap Amarok dan Suran. Tarek dilapor memulakan produksi di Argentina pada tahun 2021.
Dibina di atas platform MQB, Tarek akan diposisikan di antara model T-Cross dan Tiguan AllSpace. Jurucakap Volkswagen Argentina, Leonardo Ezcurra memberitahu Tarek bakal bersaing dengan model-model seperti Jeep Compass, Ford Kuga/Escape, Hyundai Tucson dan Kia Sportage di sana.
Jentera tersebut menggunakan enjin 1.4 liter turbo berkuasa 148hp yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik dan pacuan roda hadapan.
Apabila ditanya tentang kemungkinan varian pacuan semua roda, Ezcurra mengakui ia sedang dipertimbangkan.
Walaupun Tarek mempunyai banyak persamaan dengan Tharu yang dijual di China, ia tetap memiliki kelanan tersendiri.
Pelanggan boleh mengharapkan reka bentuk yang lebih agresif dan sedikit pembaharuan pada ruang kabinnya.
Dari segi dimensi, crossover itu sepanjang 4,468mm, 1,841mm lebar, tinggi 1,624mm dengan jarak roda mencecah 2,681mm. Ini membuatkan Tarek 234mm lebih pendek berbanding Tiguan.