Buletin

76% PEMBELI PILIH MX-5 MANUAL, TOYOTA 86 MANUAL CUMA 33%

Ketika transmisi manual dilihat terus tidak mendapat sambutan, beberapa model tertentu yang dilengkapi kotak gear berkenaan nampaknya tidak hilang peminatnya.

Memetik laporan Autoblog baru-baru ini, hampir 76 peratus pembeli roadster Mazda Miata/MX-5 memilih transmisi manual. Manakala bakinya membeli Miata dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Pengurus Program Perkhidmatan Awam Mazda, Tim Olson memberitahu angka jualan tersebut spesifik ke atas varian bumbung soft-top berdasarkan kepada data jualan bermula Julai 2018 hingga April 2019.

Bagi model Miata RF pula, 52 peratus jualannya terdiri daripada varian manual. Ini jelas menunjukkan bahawa kelompok fanatik Mazda lebih sukakan transmisi manual.

Sebagai perbandingan, hanya 33 peratus pembeli Toyota 86 memilih kotak gear manual di Amerika Syarikat. Sama seperti Miata, 86 merupakan jentera yang berorientasikan kepada pemandu.

Untuk pasaran AS, Mazda memperkenalkan versi Miata facelift pada tahun lalu dengan enjinnya telah disemak semula.

Naik taraf enjin 2.0 liter SKYACTIV-G itu melibatkan kepala selinder, injap, rod penyambung dan pengambilan udara yang telah dioptimumkan.

Hasilnya, ia mampu menjana kuasa 181hp dan tork maksimum 205Nm.

Tags
Google ads
Back to top button