Buletin

MYVI MASUK LANDASAN KERETA API – INI KISAH SEBENARNYA

Kalau anda perasan, baru-baru ini tular sekeping gambar yang menunjukkan sebuah Myvi berwarna putih berada di atas landasan kereta api.

Insiden yang dikongsi di media sosial itu mengundang pelbagai komen lucu dan sinis daripada orang ramai.

Memetik laporan Berita Harian, kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki  sebelum ia terbabas memasuki rel kereta api pelabuhan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (PKBU).

Memandu dari arah Bagan, lelaki yang didakwa mabuk itu dikatakan tersilap di antara penghadang plaza tol dengan penghadang timbangan lori di pelabuhan tersebut.

Tiada kerosakan berlaku pada rel kereta api. Pemandu yang tidak cedera itu juga berjaya mengeluarkan keretanya tanpa memerlukan sebarang bantuan daripada orang lain.

Kejadian ‘pelik’ itu hanya dilaporkan kepada pasukan pols pelabuhan dan tiada tindakan lanjut diambil ke atas pemandu terbabit.

Dalam perkembangan susulan, Polis Daerah Seberang Perai Utara menyatakan kes tersebut hanya akan disiasat jika ada laporan polis dibuat.

Ketua Polisnya, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pihak pengurusan PKBU atau mangsa sehingga kini.

“Kami masih menunggu pihak berkaitan untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan mengenainya dijalankan,” katanya.

Google ads
Back to top button