Buletin

KURANG 24 JAM, VOLKSWAGEN ID.3 CATAT TEMPAHAN 10,000 UNIT DI EROPAH

Volkswagen ID.3 hanya mengambil masa kurang 24 jam untuk mencatat tempahan sebanyak 10,000 di pasaran Eropah.

Angka itu dilihat sangat memberangsangkan buat jentera elektrik Volkswagen tersebut memandangkan hanya 30,000 unit ID.3 1ST edisi pelancaran akan ditawarkan.

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan dengan hanya €1,000 (RM4,688). Jika berubah fikiran, deposit itu akan dipulangkan sepenuhnya.

Menurut Volkswagen, minat orang ramai terhadap model itu sangat tinggi sehinggakan sistem IT syarikat kadang-kala tidak dapat menampung kebanjiran pengguna yang mengakses laman web pada satu-satu masa.  

Volkswagen ID.3 1ST edisi pelancaran yang diberi konfigurasi khas dikatakan mampu bergerak sejauh 420km dan ditawarkan pada harga €40,000 (RM186,770) seunit di Jerman.

Kereta itu menggunakan pilihan bateri bersaiz sederhana serta hadir dalam tiga varian iaitu ID.3 1ST, ID.3 1ST Plus dan ID.3 1ST Max. Versi asas hadir dengan roda lebih besar, ciri kawalan suara dan sistem navigasi.

Versi sederhana ditambah dengan ciri IQ. Light dan badan dua tona. Manakala varian teratas dilengkapi bumbung kaca panoramik dan paparan head-up augmented reality.

Selain mendapat sebuah kereta yang lengkap dengan ciri terkini, pelanggan terawal akan menerima ganjaran pengecasan semula sehingga 2,000kWh untuk tahun pertama.

Produksi Volkswagen ID.3 1ST dijadual bermula hujung tahun ini dan pelanggan akan menerima kereta mereka pada pertengahan tahun 2020.

Volkswagen memberitahu bahawa ia sudah membina 200 unit ID.3 di kilangnya di Zwikau, Jerman. Transformasi menjadikannya sebuah kemudahan yang menghasilkan kereta elektrik sudahpun bermula.

Zwickau dijangka menjadi kilang pengeluaran mobiliti elektrik terbesar di Eropah. Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran 330,000 unit kenderaan elektrik setahun apabila beroperasi sepenuhnya.

Google ads
Back to top button