Artikel PilihanMotosikal

DORNA HARUS BELAJAR DARIPADA FORMULA 1 DALAM MENANGANI MASALAH SEPERTI SKANDAL AEROGATE DUCATI

Kini isu paling hangat diperkatakan ialah mengenai aero parts yang dipasang pada 3 buah jentera Ducati dalam MotoGP. Komponen yang dinamakan wheel shroud dan air deflector pada jentera Ducati Desmsedici kini menjadi polemik dan diulas oleh hampir setiap media di atas muka bumi ini. Ada yang melihat dari sudut positif dan ada juga dari sudut negatif.

Dari sudut positifnya, peralatan tersebut boleh dianggap sebagai satu inovasi untuk jentera perlumbaan masa akan datang tetapi disebabkan ia dianggap melanggar peraturan yang telah ditetapkan ia membuatkan keadaan menjadi kacau bilau.

Mari kita buat perbandingan dengan keadaan dalam dunia Formula 1 satu ketika dahulu di mana peraturan tidak sejelas sekarang dan ruang untuk inovasi terbuka luas. Ia memang akan menyebabkan persaingan menjadi tidak adil dan diharapkan itu tidak terjadi kepada MotoGP pada masa kini. Kini Formula 1 telah mempunyai garis panduan yang lengkap dan wajar dicontohi oleh MotoGP khususnya pihak Dorna bagi memastikan MotoGP bebas dari skandal dan tidak menjejaskan saingan di antara pasukan yang bertanding.

Mari kita  tengok beberapa insiden dalam sejarah F1 yang menyaksikan beberapa regulasi diubah dan ditambah baik agar sukan ini lebih kompetitif.  

Jentera F1 dengan 6 tayar

Tahun 1976 menyaksikan sebuah jentera F1 unik dari pasukan Tyrell dengan rekaan 6 roda dan bukannya 4 roda seperti biasa. Kenapa jentera Tyrell P34 ini menggunakan 2 roda? Ini kerana ia menggunakan tayartayar bersaiz cukup kecil sehingg membolehkan ia dilindungi sepenuhnya oleh sayap depan. Kelebihannya ia mereka boleh memanipulasi efek drag dan menghasilkan corak aerodinamik yang bersih dan lancar sehingga ke spoiler belakang.

Tapi penggunaan tayar yang kecil juga bermakna patch ataupun titik sentuhan ke permukaan litar menjadi sangat kecil sekaligus mengurangkan kemampuan jentera sewaktu berlumba. Penggunaan 4 roda di hadapan adalah cara yang bijak untuk membesarkan patch tetapi sistem stereng dan suspensi menjadi lebih kompleks. Dimensi kereta juga menjadi lebih besar. Sayangnya konsep ini tidak berjalan lancar kerana pada tahun 1978, FIA mengenakan larangan penggunaan 6 roda dan mewajibkan semua kereta F1 menggunakan 4 roda selama-lamanya.

Jentera F1 berkipas

Bukan kipas lipas tetapi jentera Brabham BT46B ini mempunyai kipas besar dibelakangnya yang berfungsi menyedut angin dibahagian bawah lantai untuk menambahkan downforce tanpa bantuan rekaan sirip ataupun winglet yang pelik-pelik.

Dalam satu-satunya perlumbaan yang disertai oleh BT46B iaitu GP Sweden 1978, ia telah mencapai kemenangan dengan cukup mudah. Masalah dengan kereta ini cuma satu iaitu menurut peraturan F1 setiap komponen yang menghasilkan downforce mestilah jenis tetap dan tidak boleh bergerak. Jelas sekali yang kipas besar yang berpusing di bahagian belakang kereta ini bukannya satu komponen yang tetap. Era kereta kipas ini berakhir dengan cepat kerana FIA melarang penggunaan kipas seumpama itu sehingga kini.

Blown Diffuser

Masih lagi kisah tentang downforce. Kali ini ialah berkenaan dengan Exhaust Blown Diffuser yang secara dasarnya berfungsi untuk memanafaatkan gas ekzos agar bergabung dengan aliran udara bersih yang datang dari arah hadapan kereta. Tujuannya adalah untuk memindahkan aliran udara dari roda belakang ke luar untuk mengurangkan olakan udara di bahagian bawah kereta. Satu lagi ialah untuk memberikan sedikit tenaga kepada udara bertekanan rendah di belakang diffuser untuk menghasilkan lebih banyak downforce di belakang.

Konsep ini diharamkan oleh FIA sejak tahun 2012 kerana walaupun ia memberikan keuntungan sekitar 0.5 sehingga 1 saat untuk setiap pusingan tapi penggunaan bahan api juga turut meningkat. Ia bertentangan dengan kehendak FIA terhadap F1. Jadi Blown Diffuser turut dilarang penggunaannya sehingga kini.

Skandal Tyregate

Selain masalah aerodinamik, skandal tayar turut pernah melanda F1 pada musim 2003. Persaingan sengit pada musim itu adalah dari tiga pasukan berbeza iaitu Williams-BMW, McLaren-Mercedes dan juga Ferrrai. Ia juga satu persaingan keras antara dua pengeluar tayar ternama iaitu Bridgestone dan Michelin.

Pasukan Ferrari yang menggunakan Bridgestone jelas kelihatan lebih ketinggalan kepada pasukan lain yang menggunakan tayar jenama Michelin sehinggalah Ross Brawn yang ketika itu memegang jawatan Pengarah Teknikal Ferrari membuat aduan kepada FIA tentang perubahan spesifikasi tayar Michelin dari awal dan akhir perlumbaan. Pada awal perlumbaan tayar Michelin mengikut peraturang perlumbaan iaitu 270mm tetapi selepas mula haus ia bertambah kepada 286mm. Ini memberikan mereka kelebihan walaupun dengan cengkaman yang makin menurun.

FIA mendapati aduan yang dikemukakan Ferrari mempunyai asas dan Michelin diarahkan mengubah spesifikasi tayar mereka agar sama dari awal sehingga akhir perlumbaan. Akhirnya dihujung musim, Ferrari muncul sebagai juara pengeluar dan Michael Schumacher muncul sebagai juara dunia.

Stepneygate

Insiden ini juga dikenali dengan nama Spygate kerana ia melibatkan Mercedes-McLaren mencuri maklumat rahsia Scuderia Ferrari. Rahsia tersebut ialah berkenaan dengan rancangan pembangunan suspensi depan kerera F1. Skandal ini didakwa oleh Ferrari dilakukan oleh bekas kru pasukan mereka Nigel Stepney dan jurutera kanan McLaren-Mercedes, Mike Coughlan dan isterinya, Trudy Coughlan. Ia dikatakan berlaku sewaktu majlis makan malam di rumah Coughlan.

Kredit gambar Motorsport.com

Pada awalnya tiada hukuman dikenakan terhadap McLaren tetapi pada penghakiman kedua dengan bukti-bukti yang nyata, McLaren telah didenda USD100 juta dan mata kejuaraan mereka dibatalkan.

Crashgate

Ini satu lagi insiden memalukan yang pernah berlaku dalam sejarah F1. Ia berlaku pada tahun 2008 di mana Fernandi Alonso dikatakan bakal muncul juara dunia pada musim tersebut. Sehinggalah kemalangan berlaku melibatkan rakan sepasukan beliau Nelson Piquet Jr. di GP Singapura 2008. Piquet mengalami kemalangan dan menyatakan yang ia berpunca dari kesilapan beliau sendiri.

Tiada apa yang pelik dengan insiden tersebut sehinggalah Piquet dipecat oleh Renault setahun kemudian. Akibat bengang, Piquet mendedahkan yang kemalangan di Singapura merupakan satu kemenangan yang dirancang untuk membantu Alonso meraih kemenangan.

Piquet menyatakan yang ia dirancang oleh dua bos besar Renault iaitu Pat Symonds dan Flavio Briatore. Mereka bagaimanapun tidak pernah membincangkan perancangan terbabit dengan Alonso kerana mereka tahu yang Alonso tidak akan bersetuju.

Keduanya didapati bersalah selepas dibicarakan dan keduanya berundur dari pasukan Renault seperti dilarang berkecimpung dalam arena perlumbaan selama-lamanya oleh FIA.

Aerogate Ducati GP19

Okey macam mana dengan krisis Aerogate Ducati yang menjadi perkata pokok dalam saingan MotoGP yang baru saja bermula. Masalah ini menjadi hangat bila beberapa pasukan lain seperti Aprilia, Honda, Suzuki dan juga KTM. Pada peringkat awal Massimo Rivola dari Aprilia membuat bantahan awal dan diikuti oleh pasukan lain tapi sayangnya bantahan mereka ditolak mentah-mentah oleh Steward MotoGP dan menegaskan yang komponen terbabit adalah untuk menyejukkan tayar belakang jentera GP19.

Bantahan Rivola ada logiknya kerana beliau merasa dipermainkan kerana sewaktu mereka menghasilkan komponen dengan idea dan konsep yang sama sebelum ini tapi telah ditolak oleh FIM. Pada beliau ia kelihatan seperti peraturan yang tidak adil, kenapa pihak lain boleh tetapi mereka tidak boleh. Perkara seperti ini jika terjadi dalam kancah F1, semestinya ia akan ditangani dengan pantas oleh pihak Steward F1 dan FIA.

Mereka tidak menunggu lama untuk menyelesaikannya dan mereka juga akan merombak peraturan jika dirasakan ia cuma menguntungkan satu atau dua pasukan sahaja. FIM sebagai penaung MotoGP dan Dorna sebagai promoter wajar bertindak segera dan tidak berpihak kepada satu pasukan sahaja dalam menangani masalah seperti ini. Ia penting agar MotoGP kekal kompetitif dan demi semangat kesukanan di kalangan pasukan dan pelumba.

Google ads
"
"
Back to top button