TAHUKAH ANDA VOLVO MAHU HADKAN KELAJUAN PADA 180 KM/J SAHAJA?
Teknologi keselamatan Volvo Cars dalam industri automotif memang wajib dipuji. Ada sahaja teknologi keselamatan canggih yang diperkenalkan Volvo dan kemudian diikuti pengeluar lain.
Malah ciri-ciri keselamatan kenderaan Volvo menjadi penanda aras pengeluar lain.
Selepas mahir dalam teknologi keselamatan, Volvo kini sedang memantapkan teknologi pemanduan autonomi pula.
Kenderaan Volvo moden sebenarnya sudah mencapai tahap pemanduan autonomi tinggal lagi pemandu dan undang-undang perlu menyesuaikan dengan apa yang dibawa oleh pengeluar dari Sweden ini.
Apa lagi yang mahu dibawa oleh Volvo?
Kali ini ringkas dan mungkin menerima pelbagai reaksi atau kontroversi.
Volvo Cars pada tahun 2020 akan menghadkan kelajuan maksimum kesemua kenderaan keluarannya setakat 180 km/j sahaja.
Tindakan ini bagi menghantar isyarat keras tentang bahaya memecut laju.
Volvo Cars mempunyai satu wawasan dikenali sebagai Vision 2020 dengan sasaran tiada seorang pun akan maut atau cedera parah di dalam kenderaan Volvo menjelang tahun 2020.
Ini adalah satu visi yang tinggi dalam industri automotif.
Walau bagaimanapun menyedari hakikat bahawa teknologi sahaja tidak semestinya membolehkan sasaran tersebut dicapai, Volvo Cars kini beralih kepada tingkah laku pemandu.
Kajian Volvo Cars mendapati bahawa tiga perkara yang menjadi jurang bagi mencapai Vision 2020 dengan punca paling jelas ialah pemanduan laju.
Selain menghadkan kelajuan maksimum, Volvo juga sedang mengkaji bagaimana gabungan kawalan kelajuan pintar dan teknologi pemagaran geografi (geofencing) dapat menghadkan kelajuan secara automatik di kawasan sekolah dan hospital pada masa akan datang.
Satu kelemahan tentang memandu laju ialah apabila dipandu melebihi had tertentu, teknologi dalam kereta dan reka bentuk infrastruktur pintar tidak lagi dapat mencegah cedera parah dan kematian apabila berlakunya kemalangan.
Oleh sebab itu juga had kelajuan ditetapkan di beberapa negara barat dan walaupun begitu, kelajuan tetap menjadi punca utama kemalangan maut.
Data kemalangan jalan raya National Highway and Traffic Safety Administration (NHTSA) menunjukkan 25 peratus daripada kemalangan maut di Amerika Syarikat pada 2017 berpunca daripada memandu laju.
Selain daripada memandu laju, lagi dua jurang ke arah Vision 2020 ialah mabuk atau khayal.
Memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah adalah satu kesalahan jenayah di sebahagian besar negara di dunia.
Meski pun begitu ia tetapi menjadi punca utama kepada kecederan dan maut di atas jalan raya hari ini.
Satu lagi jurang ialah gangguan. Pemandu yang tertanggu oleh telefon tangan atau tidak fokus kepada pemanduan merupakan satu lagi punca utama kemalangan maut.
Dalam beberapa keadaan, pemandu jenis ini sama sahaja bahayanya seperti pemandu mabuk.
Untuk dua perkara ini iaitu mabuk dan khayal serta gangguan, Volvo Cars akan membentangkan idea bagi mengatasinya pada 20 Mac depan di Gothenburg, Sweden.
Jadi bagaimana dengan pemilik Volvo Cars yang ingin memandu lebih daripada 180 km/j?
Tidak timbul isu memandangkan pada tahun 2020, kelajuan kereta baharu Volvo semuanya sudah siap dihadkan.
Mereka pasti sudah sedar dengan ciri ini dan membuat pembelian secara rela hati.