
ORDER KERETA SPORTS ELEKTRIK, YANG SAMPAI GOLF KART WARNA MERAH JAMBU
Seorang lelaki bernasib malang apabila kereta sports elektrik yang ditempahnya tidak seperti diharapkan. Sebaliknya, apa yang diterima ialah sebuah kereta kart golf elektrik berwarna merah jambu.
Segalanya bermula apabila MacNeill melayari laman jual beli Alibaba dan ternampak kereta sports jenama Qiantu K50 yang memang cantik dan sporty.
Dia yang juga seorang YouTuber mengakui telah melakukan penyelidikan dan menonton banyak video sebelum yakin untuk membuat pembelian.
MacNeill menghubungi penjual dan menerima katalog kenderaan yang mereka jual.

Dokumen yang dihantar itu kelihatan betul. Apa yang membuatkan dia lebih yakin ialah Alibaba dan beberapa laman jual beli lain mengesahkan operasi syarikat Zhenjiang Zibon Electric Vehicles Co. memang wujud.
E-mel yang diterima daripada syarikat itu juga nampak meyakinkan. Jadi, dia membuat tempahan pada akhir Disember 2019 dengan deposit sebanyak AS$5,000 (RM20,747) menerusi pemindahan wang secara dalam talian. Dia mengakui bahawa sepatutnya rasa curiga apabila syarikat itu tidak menerima bayaran melalui kad kredit atau PayPal.
Kereta itu sepatutnya dihantar dalam masa 50 hari. Selepas 50 hari, kereta masih belum sampai, kebetulan pula wabak COVID-19 mula melanda dunia dan menjadi alasan terbaik kenapa penghantaran ditangguhkan.
Kemudian, individu yang bertanggungjawab dengan urusan jual beli ini, Tony Han memberitahu MacNeill perlu membayar wang tambahan sebanyak AS$9,000 (RM37,344) untuk mempercepatkan proses penghantaran.
Tetapi daripada jumlah itu, dia hanya diminta membayar AS$2,000 (RM8,300) sahaja. Selepas beberapa bulan berlalu, MacNeill mula menghantar emel serta membuat panggilan telefon, malangnya tidak pernah dijawab. Akhirnya pada Jun, Tony menghantar emel dan memberitahu dia sedang menguruskan proses penghantaran secepat mungkin.

Lebih mengejutkan, Tony meminta baki bayaran penuh berjumlah AS$24,000 (RM99,600) dibuat serta-merta. Kebetulan pula MacNeill baru sahaja masuk rumah baharu dan kebanyakan wang sudah dibelanjakan. Tony juga berjanji akan menguruskan semua aspek seperti kastam dan kereta dihantar terus ke rumah.
MacNeill sekali lagi ditipu apabila kereta itu sudah sampai di pelabuhan selama lima hari. Akhirnya dia terpaksa pergi mengambilnya sendiri. Apabila kotak keretanya diangkat menggunakan sebuah forklift kecik, dia terus tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Bahagian atas kotak itu patah dan kena pada bumbung kereta. Apabila diintai ke dalam kotak, apa yang dapat dilihat ialah sebuah kart golf kecil berwarna merah jambu.
Sedar penipuannya sudah terbongkar, Tony kemudian ada memulangkan duit sebanyak AS$20,000 (RM83,000) dalam bentuk barangan dan perkhidmatan melalui PayPal. Tetapi PyPal menasihatkan MacNeill supaya tidak menerima tawaran itu kerana ia boleh dijadikan bukti penerimaan.
Marah kerana ditipu, dia memuat naik satu video tentang penipuan tersebut dan Tony meminta ia dipadamkan. Jika tidak pihaknya tidak akan memulangkan kembali wang yang telah diambil.
“Ini adalah kesilapan syarikat penghantaran dan kami sudah menyaman mereka. Kami juga telah membuat pembayaran semula kepada MacNeill, lebih banyak daripada apa yang dia bayar. Anda boleh tolong saya dan minta dia untuk cuba memusnahkan syarikat ini. Saya ada semua bukti untuk mengembalikan reputasi syarikat saya ini.
“Dia sekarang ada AS$50,000 (RM207,500) dan sebuah kereta elektrik. Sedangkan dia hanya membayar kami AS$29,000 (RM120,333). Jadi, anda ada sesuatu untuk difikirkan,” kata Tony kepada BuzzFeed News.
MacNeill kemudian berkongsi satu screenshot perbualannya dia dengan seorang lagi mangsa penipuan oleh syarikat sama, selepas videonya disiarkan di YouTube.
Alibaba bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. – BuzzFeed News