Buletin

VW KOMBI BAKAL KEMBALI – 70 TAHUN SELEPAS MODEL PERTAMA!

Dalam dunia automotif moden sekarang ini, terdapat beberapa model ikonik dan klasik masih berada dalam pasaran dengan revolusi dan evolusi tersendiri supaya ia kekal relevan dengan citarasa pengguna dan peraturan sesebuah negara.

Sebagai contoh, VW Beetle, Mini Cooper, Fiat 500 atau Honda Cub sendiri. Namun ada juga jenama yang telah lama senyap kini telah bangkit semula seperti Datsun dan TVR.

Di sebalik model-model klasik yang kekal relevan sehingga kini, ada sebuah van yang jika dipamerkan biasanya akan membuat sesetengah pengunjung tersenyum sendiri.

Ini yang terjadi pada I.D. BUZZ concept yang dikatakan jelmaan semula VW Bus/Kombi/Transporter. 

Selepas VW mempamerkan van konsep ini di Detroit dan Geneva, syarikat itu menerima begitu banyak respon dalam bentuk surat dan emel dari pelanggan yang mahukan ia dibina.

Akhirnya pada 22 Ogos lalu semasa acara Concours d’Elegance di Pantai Pebble, California, Pengerusi Lembaga Pengurusan VW dan Jenama Komersil VW, Dr Herbert Diess dan Dr Eckhard Scholz mengumumkan bahawa mereka akan benar-benar membangunkan I.D. BUZZ sebagai sebuah model produksi.

Lebih manis, pengumuman itu dibuat di Amerka di mana Kombi atau Bulli adalah sebahagian daripada gaya hidup California.

Sama seperti Honda Super Cub baharu yang dikuasakan oleh tenaga bateri, I.D BUZZ akan turut menggunakan kuasa elektrik bagi meneroka masa depan mobiliti.

Bateri akan diletakkan di bawah lantai van yang menyumbang kepada ruang dalaman luas seterusnya memberi lebih keselesaan kepada penumpang. 

I.D BUZZ akan tampil dengan beberapa varian seperti minibus untuk kegunaan umum dan juga varian kargo untuk kemudahan peniaga dalam bandar.

Sementara itu, Ben Pon yang merupakan pengimport kenderaan VW di Belanda nampak teruja dengan penghasilan semula VW Bus dalam bentuk moden ini. Keluarga beliau mempunyai sejarah kuat dengan VW Bus kerana bapanya telah menginspirasi pembinaan model ikonik T1 melalui lakaran yang dibuat lebih dari 70 tahun dahulu.

Model baharu itu nanti berukuran 4,942 mm (panjang), 1,976 mm (lebar) dan 1,963 mm (tinggi). Selain daripada dalaman yang luas, model produksi nanti turut didatangkan dengan kerusi pelbagai konfigurasi, sambungan interaktif dan juga pemanduan automasi.

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40,000!

Bilakah model I.D. BUZZ ini akan dikeluarkan? Nampaknya bukan dalam masa terdekat. Pembangunan model ini mengambil jangka masa yang panjang dan hanya akan dipasarkan selepas pelancaran sebuah lagi model elektrik iaitu I.D. kompak empat pintu pada tahun 2022.

VW mensasarkan untuk menjual model ini di beberapa pasaran utama di dunia seperti Amerika Utara, Eropah dan China.

Menjelang 2025, VW bukan sahaja mahu menjual famili I.D. malah lebih dari 30 kenderaan elektrik bakal dipasarkan.

Tidak kira apa teknologi yang mahu digunakan harapnya VW Kombi baharu ini dipasarkan pada harga mampu milik dan terus menjadi kenderaan rakyat, kerana itulah konsep asal jenama Volkswagen.

VW I.D BUZZ

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”8″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads
Back to top button