Buletin

VW T-ROC STAILO DENGAN GAYAAN R-LINE!

Satu hakikat yang perlu diterima sebagai peminat automotif ialah perubahan teknologi atau trend. Dari zaman gear manual kepada automatik, CVT dan klac berkembar.

Dari zaman kereta tanpa bumbung, dua pintu, MPV dan kini SUV. SUV pula terbahagi kepada beberapa segmen, dari saiz kompak hinggalah yang besar seperti Audi Q7 dan terbaru SUV eksotik Lamborghini Urus.

Volkswagen pula sudah siap-siap dengan trend dan keperluan terbaru ini apabila merancang untuk memperkenalkan bepuluh-puluh SUV baharu bermula sekarang sehingga tahun-tahun mendatang.

Walaupun pesaing dari Jepun terlebih dahulu memperkenalkan SUV kompak moden seperti Nissan Juke, Honda HR-V dan Mazda CX-3, itu tidak bermakna VW sudah terlambat.

Tahun lalu VW telah memperkenalkan T-Roc, SUV kompak yang menyertai persaingan segmen popular ini. Walaupun segmen ini diwakili dengan SUV dengan bentuk unik dan kadangkala pelik, VW tetap kekal dengan imej macho dan elegan. 

Ada juga unsur-unsur unik seperti badan dua warna tetapi itu sudah memadai untuk VW.

Memandangkan segmen ini disasarkan untuk golongan muda belia dan muda di hati, kena ada juga unsur-unsur sporti dan seperti biasa, varian R-Line akan mengambil alih.

Macam biasa, VW dan R-Line bukan jenis ekstrem dan luar alam. Kit yang digunakan biasanya sopan dan ala sleeper.

Memang jauh jika dibandingkan dengan Toyota C-HR dengan kit badan Modellista yang menjerit-jerit meminta perhatian.

Sekarang ini pelanggan di UK sudah boleh memesan T-Roc R-Line dan ini bukan kosmetik semata-mata. Ada rim 19 inci Suzuka dengan tayar profail rendah, suspensi sport dan macam biasa kit badan R-Line.

Bahagian dalaman boleh tahan meriah dengan pelbagai kelengkapan seperti kemasan kelabu gelap pada panel pintu dan papan pemuka, lampu ruang kaki depan, lampu membaca LED, pedal aluminium, karpet R-Line dan stereng flat-bottomed R-Line.

Dah jadi macam kereta Jepun pula dan T-Roc R-Line ini boleh dipesan melalui empat varian di bawah:

  • T-Roc 1.5 TSI EVO 150 PS 6 kelajuan manual
  • T-Roc 1.5 TSI EVO 150 PS 7 kelajuan DSG
  • T-Roc 2.0 TSI 190 PS 4MOTION 7 kelajuan DSG
  • T-Roc 2.0 TDI 150 PS 4MOTION 6 kelajuan manual  

Harga di UK bermula dari GBP 26,450 atau bersamaan RM 144,101.63. Boleh tahan juga dan tidak pasti sama ada VPCM mempunyai perancangan untuk memasarkan T-Roc di sini.

Kalau ada menarik juga sebab kecuali Renault Captur, tidak ada lagi pesaing Eropah yang menawarkan alternatif untuk model-model dari Jepun.

BACA: PANDU UJI: VW TIGUAN HIGHLINE – SUV MEWAH DALAM KELAS TERSENDIRI

BACA: VW DIIKTIRAF SEBAGAI JENAMA PALING INOVATIF 2017

Google ads
Back to top button