Buletin

HONDA CIVIC 2025 AS, RUPA DEPAN LEBIH GARANG, TIADA 1.5 TURBO, MULA TAWARKAN HIBRID

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda kembali menawarkan Civic hibrid untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Bukan hanya rangkaian kuasa, Civic juga tampil lebih garang.

Baru diperkenalkan, Civic hibrid tidak menggunakan nama e:HEV seperti di pasaran lain.

Civic 2025 ditawarkan dalam empat varian bermula dari LX (sedan), Sport dan dua varian teratas Sport Hybrid dan Sport Touring Hybrid.

Menurut Honda, model elektrik hibrid baharu akan mewakili sekitar 40 peratus jualan Civic dan langkah utama di dalam strategi elektrifikasi Honda.

Civic hibrid dijangka menghasilkan 200 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 315Nm (e:HEV Malaysia 181 hp, 315Nm) dan menjadi Civic bukan Type R paling berkuasa setakat ini.

Linear Shift Control meningkatkan lagi pengalaman pemanduan dengan ‘meniru’ lagak enjin kereta biasa dalam penukaran gear semasa memecut.

Sistem dua motor hibrid Honda memaksimumkan kecekapan tanpa menjejaskan prestasi dinamik, ruang penumpang dan barangan.

Motor tersebut dioptimumkan untuk Civic dan memberikan pengalaman pemanduan sporti. Civic bukan seperti model lain dan perlu mempunyai ciri-ciri sporti di sebalik agenda kecekapan dan mesra alam.

Civic hibrid mempunyai empat tahap pembrekan regeneratif yang boleh dipilih melalui pedal pada stereng. Tahap itu membolehkan pemandu memilih julat berbeza semasa nyah pecut.

Tidak hanya memasang rangkaian kuasa hibrid, Honda turut mengusik pemanduan dan pengendalian dengan penalaan pada penyerap hentak dan pegas gegelung selain tayar yang dibangunkan khas.

Civic hibrid mempunyai kadar bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) paling rendah berbanding varian Civic dengan enjin petrol biasa.

Honda memasang Kawalan Bunyi Aktif pada semua Civic hibrid dan resonator pada rim Sport Touring.

Di sebalik tumpuan pada Civic hibrid, Honda mengambil kira kemampuan pembeli muda. Civic LX dan Sport terus dikuasakan enjin 2.0 liter (tiada 1.5 liter turbo!).

Pemandu mempunyai mod pemanduan Econ, Normal dan Sport (Civic Sport dan hibrid sahaja) yang menetapkan tindak balas rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng dan bentangang meter.

Civic Sport Touring Hybrid dilengkapi mod Individual baharu yang membolehkan pemandu melaras sendiri tetapan kereta.

Dari gambar boleh dilihat Civic 2025 tampil dengan rupa depan lebih garang selain lampu belakang lebih gelap.

Civic hibrid istimewa dengan pendakap lampu besar sama warna badan dan spoiler bawah bampar. Kesemua Civic Sport kekal dengan riasan gelap dan rim 18 inci warna hitam.

Civic Sport Touring Hybrid yang merupakan varian tertinggi dilengkapi rim baharu dalam kemasan mesin.

Pada bahagian dalam, Civic hibrid ditawarkan dengan warna kelabu dan semua Civic dilengkapi port USB-C pada bahagian depan.

Civic Sport Hybrid dilengkapi bumbung kaca, kerusi depan dengan pemanas dan kawalan suhu dua zon.

Civic Sport Touring Hybrid lebih istimewa dengan stereng balutan kulit, sistem audio premium Bose 12 pembesar suara dan skrin lebih besar saiz sembilan inci. 

Civic dilengkapi teknologi Honda Sensing yang merangkumi Sistem Pembrekan Pencegahan Pelanggaran (CMBS) dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Amaran Pelanggaran Depan.

Lagi teknologi seperti Pencegahan Tersasar Lorong (RDM) dengan Amaran Penukaran Lorong (LDW), Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS) dan Kawalan Suai Pandu (ACC).

Civic Sport kini dilengkapi Titik Buta dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang.

Civic 2025 ditawarkan dalam empat warna baharu iaitu Solar Silver Metallic, Urban Gray Pearl, Blue Lagoon Pearl (khusus untuk Civic sedan) dan Sand Dune Pearl (khusus untuk Civic hatchback).

Civic sedan boleh didapati di pengedar Honda pada Jun sebelum disusuli Civic hatchback.

Honda Civic Sedan Sport Touring Hybrid:

Honda Civic Hatchback Sport Touring Hybrid:

Google ads
Back to top button