Buletin

KUMPULAN MOTOSIKAL LAWAN ARUS MAHU ELAK OPERASI POLIS

Rakaman tular yang menunjukkan puluhan penunggang motosikal menunggang secara berbahaya dengan melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR) adalah kerana melarikan diri daripada operasi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Anuar Abdul Rahman berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam, Ahad lalu.

Katanya, kumpulan penunggang motosikal terbabit telah menunggang melawan arus dari Plaza Tol Bagan Ajam, BORR menghala Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

“Kejadian berpunca daripada satu operasi samseng jalanan yang telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD SPU bagi membanteras aktiviti samseng jalanan.

“Penunggang motosikal telah bertindak melarikan diri dengan melawan arus dari ditahan oleh pihak polis.

“Dalam operasi tersebut, polis telah menangkap seorang penunggang motosikal di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya serta menyita sebanyak 25 buah motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Terdahulu, rakaman yang dimuat naik di Facebook berdurasi 38 saat itu menunjukkan, kumpulan besar penunggang motosikal membawa kenderaan secara melawan arus di kedua-dua bahu jalan, menyebabkan beberapa kereta terpaksa bergerak perlahan bagi mengelak motosikal terbabit. – Buletin TV3

Google ads
Back to top button