Buletin

WIDAD MAHU BELI PLUS RM3 BILION. CADANG KURANGKAN KADAR TOL SEHINGGA 40%

Tawaran tersebut adalah berdasarkan kepada pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau menguasai 100 peratus pegangan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

WBG dalam satu kenyataan berkata, cadangan pengambilalihan itu telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Oktober 2019.

Lebuhraya yang terlibat di dalam konsesi PLUS ialah:

  • Lebuh raya Utara Selatan
  • Lebuh raya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA)
  • Jambatan Pulau Pinang
  • Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
  • Lebuh raya Butterworth Kulim (BKE)
  • Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH)

Menurut WBG, pihaknya membuat dua pilihan tawaran iaitu mengambil alih 51 peratus kepentingan Khazanah pada pertimbangan tunai RM1.5 bilion dengan baki kepentingan masih dipegang oleh KWSP.

Tawaran kedua ialah cadangan mengambil alih 100 peratus ke atas kepentingan Khazanah dan KWSP pada pertimbangan tunai RM3 bilion. Kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan dari pihak kerajaan berjumlah RM2.7 bilion hasil daripada pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga and Bukit Kayu Hitam.

Tawaran tersebut telah mengambil kira tambahan lanjutan konsesi untuk tempoh 20 tahun daripada tarikh tamat konsesi sedia ada.

Dalam hubungan ini kata WBG, pilihan pertama dilihat lebih berdaya maju kerana ia menjurus kepada kerjasama awam-swasta, sekali gus memupuk budaya keusahawanan dalam pengurusan PLUS.

WBG juga telah mengenal pasti rakan strategik global/pelabur untuk menyediakan dana bagi tujuan pengambilalihan tersebut. Selain dana dalaman syarikat dan cadangan untuk meraih dana menerusi sukuk MTN dan terbitan ekuiti.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, jika syarikatnya berjaya mengambil alih konsesi itu, pihaknya akan mengurangkan kadar tol sebanyak 25 hingga 40 peratus berbanding kadar sedia ada.

“Pengurangan kadar tol ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan kepada pengguna lebuh raya terbabit. Sekali gus memenuhi manifesto kerajaan dan memenuhi kehendak dasar kerajaan semasa,” katanya.

WBG berhasrat mengecualikan kerajaan daripada membayar pampasan sebanyak RM338.5 juta kepada PLUS yang tertunggak pada 31 Disember 2018.

WBG turut mencadangkan untuk memberi diskaun 50 peratus pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

“Kami akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, melaksanakan penggunaan teknologi ‘artifial intelligence’ bagi meningkatkan kelancaran dan pengurusan trafik selain jaminan tiada sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan tersebut,” katanya.

Muhammad Ikmal merupakan pengasas dan ketua di WBG yang menyediakan peluang pekerjaan lebih 1,500 orang di seluruh negara. WBG ialah kontraktor bumiputera berkaliber yang diperbadankan pada tahun 2002 bagi memenuhi keperluan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara yang pantas.

Bermula dari situ, WBG berkembang pesat dan meluaskan aktiviti syarikat menerusi pengurusan fasiliti bersepadu, pembinaan, penyelenggaraan dan operasi, perkhidmatan elektrikal dan mekanikal, sistem automasi bangunan, pengurusan tenaga, pembangunan hartanah, pendidikan, perkhidmatan ICT dan media, hospitaliti, minyak dan gas serta akuakultur.

Google ads
Back to top button