Buletin

WRC 2019 : GILIRAN OTT TÄNAK PULA MENJUARAI DI SWEDEN

Pusingan kedua dalam kalender World Rally Championship (WRC) 2019 selesai berlangsung minggu sudah di Sweden dengan pemandu berasal dari Estonia, Ott Tänak yang memandu untuk pasukan Toyota berjaya menjuarai dalam keadaan yang bersalji.

Sepanjang kerjaya perlumbaan Ott Tänak dalam WRC, ini adalah kejayaan yang ketujuh. Prestasi Ott Tänak dalam dua pusingan awal WRC ini dilihat agak konsisten juga sementalah meraih podium ketiga sewaktu di Monte Carlo pada Januari lalu.

Ott Tänak yang agak selesa mendahului dari awal saingan lagi, berjaya meninggalkan Esapekka Lappi yang memandu Citroen di tempat kedua dengan perbezaan 53.7 saat. Beliau merupakan pemandu keempat yang bukan berasal dari Scandinavian memenangi perlumbaan di trek yang penuh dengan salji di kiri dan kanan.

Tempat kedua yang diraih pelumba dari Finland tersebut dicabar hebat
Thierry Neuville yang memandu Hyundai i20 WRC di tempat ketiga yang hanya dibezakan dengan 3 saat sahaja.

Thierry Neuville pula berjaya mengenepikan rakan sepasukan
Andreas Mikkelsen di tempat ketiga. Tampak macam kereta Hyundai i20 WRC boleh tahan juga prestasinya. Cuma kelibat pelumba lagenda yang memandu Hyundai, Sebastian Loeb pula hanya mampu berada di tempat ketujuh. Tak ngam lagi nampak gayanya gandingan Loeb-Hyundai ni. Yang pasti, kedudukan tempat kedua hingga ke lima mempunyai jarak masa yang agak rapat dan sengit juga.

Tetapi, apa yang menariknya, selain daripada Sebastian Loeb, seorang lagi pelumba yang dianggap lagenda, Marcus Gronholm turut membuat penampilan istimewa di Sweden dengan menggunakan kereta Toyota Yaris WRC. Sekali tengok kereta yang Pakcik Marcus gunakan macam serupa pula ‘copy ori’ Toyota, padahal beliau bertanding atas tiket indie sahaja pun.

Sungguh pun di awalnya Marcus menyasarkan untuk berada di kedudukan 10 teratas, namun tidak kesampaian apabila kereta yang dipandu beliau terbabas. Nasib yang sama turut menimpa Sebastian Ogier yang mengakibatkan beliau kehilangan masa dan hanya mampu berada di tempat ke 29 keseluruhan. Tak mengapalah. Boleh cuba pusingan berikutnya di Mexico pula lepas ni.

Kedudukan Pelumba

  1. Ott Tänak (Toyota) – 47 Mata
  2. Thierry Neuville (Hyundai) – 40 Mata
  3. Sebastian Ogier (Citroen) – 31 Mata
  4. Kris Meeke (Toyota) – 21 Mata
  5. Esapekka Lappi (Citroen)- 19 Mata

Kedudukan Pasukan

  1. Toyota Gazoo Racing – 58 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 57 Mata
  3. Citroen Total – 47 Mata
  4. M Sport Ford – 30 Mata

BACA : INI TOYOTA YARIS UNTUK WRC 2019

BACA : SEBASTIAN OGIER MENJUARAI RALI MONTE CARLO BUAT KALI KEENAM BERTURUT

Google ads
Back to top button