Artikel Pilihan

KERETA LUMBA “HALAL” ATAS JALAN.

Homologasi adalah perkataan yang tiada kaitan dengan homo sapiens. Ia merupakan derivatif perkataan yang berasal dari Greek dengan maksud persetujuan. Dalam bahasa Inggeris ia diberikan terma sebagai Type Approval. Dalam perlumbaan ia membawa maksud jentera perlumbaan mesti memenuhi ujian dan diluluskan sebelum dibenarkan berlumba.

Dalam sejarah, kereta sebenarnya dihasilkan sebagai alat pengangkutan bukannya perlumbaan. Untuk berlumba, beberapa modifikasi perlu dilakukan pada kereta bagi memastikan keselamatan pemandu dan kru yang terlibat. Apa yang pasukan perlumbaan buat ialah ambil kereta penumpang, buang semua benda yang tidak perlu dan tingkatkan kuasa enjin.

Untuk menjadikan kereta semakin baik, sistem suspensi dan brek dinaiktaraf. Tapi apabila pengeluar memasuki pertandingan, mereka akan menghasilkan kereta lumba khas bermula dari R&D lagi. Dalam erti kata lain, kereta yang dihasilkan oleh mereka sebenarnya ialah untuk berlumba bukan sebagai alat pengangkutan. Jadi sesetengah pasukan lain merasakan perkara tersebut tidak adil.

Jadi bagi menjadi lebih adil, badan pemantau perlumbaan memberi syarat jika satu model baru memang dihasilkan khas untuk berlumba, maka mereka perlu menghasilkan beberapa unit kereta tersebut untuk dijual kepada umum. Ini melibatkan kereta spesifikasi yang sama dengan perlumbaan namun diberikan sentuhan lain seperti bahan kedap bunyi, sistem audio, penyaman udara dan beberapa aksesori lain.

Mari kita lihat contoh kereta yang dihasilkan untuk berlumba tapi perlu dijual kepada umum untuk memenuhi syarat homologasi.

1. Subaru Impreza WRX STI 1999 ini antara nama yang popular dalam sukan rali bagi memberi cabaran kepada Mitsubishi Lancer Evolution. Ia menggunakan enjin boxer 2200cc yang menghasilkan 280 kuasa kuda. Pecutan dari 0-100km/j dibuat dalam masa 4.7 saat sahaja. Hanya 424 unit sahaja yang dihasilkan untuk dijual kepada umum.

2. Mitsubishi Evolution 1992 ini memang saingan kepada Subaru Impreza. Namun ia hanya menggunakan enjin 2000cc 4 silinder turbo yang menghasilkan 250 kuasa kuda ketika itu. Lancer dihasilkan bagi keret lumba yang lebih lincah berbanding dengan Gallant. Hanya 5000 unit sahaja yang dihasilkan untuk dijual kepada umum.

3. Mercedez Benz 190E 2.5 EVO II 1990 ini dihasilkan selepas Mercedes bersetuju untuk menyertai perlumbaan selepas 30 tahun. Enjin asal 2300cc dibesarkan sehingga 2463cc bagi menghasilkan 232 kuasa kuda tanpa turbo. Sistem enjin dan mekanikal sama seperti unit perlumbaan tapi bahagian dalaman lengkap dengan kusyen kulit dan hiasan kayu. Hanya 502 unit dihasilkan

4. BMW M3 GTR 2001 dihasilkan untuk perlumbaan namun dengan enjin V8 membuatkan pasukan Porsche menyatakan bantahan. Jadi jentera ini dijual kepada umum tanpa melibatkan diri dalam perlumbaan pada tahun 2002. Enjin V8 4000cc menghasilkan 444 kuasa kuda dan 467Nm tork. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 12:1, jadi jangan haraplah untuk pakai RON 95.

5. Honda NSX R GT 2005 masih menggunakan enjin 3200cc namun beberapa perubahan aerodinamik dibuat seperti bampar depan untuk downforce manakala air scoop pada bahagian bumbung sebenarnya tidak berfungsi pada versi jalanan. Hanya 5 unit sahaja dibuat dengan harganya mencecah 470 ribu USD setiap satu

6. Nissan Skyline GT-R (R32) 1990 tak sah kalau anda tak kenal dengan kereta ini. Ia dihasilkan untuk memberi saingan dalam kumpulan A perlumbaan Japanese Touring Car Championship pada tahun 1990. Skyline mendominasi perlumbaan dengan memenangi 29 siri perlumbaan JTCC berturut-turut pada tahun 1990. 560 unit dihasilkan tapi hanya 500 unit sahaja yang dijual.

7. Mercedes CLK GTR 1997 – ia direka untuk mengalahkan McLaren F1 dalam perlumbaan FIA GT 1997. Ia dibina dengan kerjasama Mercedes dan AMG dengan memasang enjin V12 6000cc yang menghasilkan 612 kuasa kuda dipasang di bahagian belakang pemandu. Hanya 35 unit dihasilkan dan dijual dengan harga mencecah 2.7 juta Euro

8. Toyota GT One 1998 ini memang dihasilkan oleh Toyota Team Europe untuk menyertai perlumbaan Le Mans pada tahun 1998. Ia dikuasakan dengan enjin V8 3600cc yang menghasilkan 600 kuasa kuda dengan bantuan turbo berkembar. Dengan berat sekitar 900kg, ia mula meraih kemenangan pada tahun 1999.

Sebanyak 7 unit dihasilkan untuk dijual kepada umum. Perbezaan unit perlumbaan dengan unit yang dijual ialah GT wing dipasang lebih rendah, suspensi belakang lebih tinggi serta penapis asap yang memenuhi regulasi Euro.

9. Ford GT 2017 merupakan pewaris sebenar kepada Ford GT40 yang memenangi Le Mans pada tahun 1966. Namun disebabkan masalah hakcipta, namanya ditukar kepada GT sahaja berbanding GT40. Ia dikuasakan dengan enjin V6 3500cc turbo berkembar yang menghasilkan 647 kuasa kuda. Hanya 138 unit sahaja yang dihasilkan oleh Ford

10. Peugeot 206 Grand Tourisme merupakan kereta kompak bersaiz Myvi dilancarkan pada tahun 1998 namun undang-undang World Rally Championship menyatakan model 206 ini perlu dijual kepada umum. 3400 unit dihasilkan dengan pemanduan sebelah kiri dan 600 unit pemanduan sebelah kanan dihasilkan. Ia dikuasakan dengan enjin 2000cc NA yang menghasilkan 137 kuasa kuda.

11. Proton Wira 1.8 EXi DOHC jangan ingat kita tiada kereta homologasi kerana Wira ini dihasilkan sebanyak 2500 unit sahaja untuk memenuhi keperluan World Rally Championship. 2450 unit berwarna hitam dan 50 unit berwarna putih. Ia menerima bar penstabil tambahan dan kimpalan tambahan bagi mengukuhkan cesi. Bahagian luarannya boleh dikenali dengan GT Wing sebesar tiang gol

Google ads
Back to top button