Buletin

WRC 2025 – KALLE ROVANPERA DAN TOYOTA RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG DI CENTRAL EUROPEAN RALLY

Mantan juara WRC dua kali, Kalle Rovanpera berjaya mengungguli saingan rali di Central European Rally dengan bergaya sekali gus memberikan harapan beliau untuk terus bersaingan merebut tahta WRC buat kali ketiga.

Kemenangan tersebut juga sebenarnya amat bermakna buat pasukan Toyota Gazoo Racing apabila berjaya memenangi kejuaraan kategori Pengeluar buat kali kelima berturut – turut, suatu pencapaian yang cukup menakjubkan dalam perlumbaan dunia rali moden.

Kemenangan Kalle Rovanpera sebelum itu hampir sahaja tidak menjadi kenyataan apabila terpaksa bersaing hebat dengan pendahulu perlumbaan yang juga saingan terdekat beliau dalam perebutan tahta musim ini, Sebastien Ogier.

Walau bagaimana pun, nasib malang menimpa pemandu Perancis tersebut apabila terlanggar pokok dengan kelajuan tinggi membabitkan sehingga tekanan 10G yang mengakibatkan jentera Toyota GR Yaris Rally1 beliau mengalami kerosakan teruk tayar hadapan belah kiri. Mujur Sebastian Ogier dan juruarah Vincent Landais masih lagi ok dan tidak mengalami kecederaan.

Dan untuk Kalle Rovanpera kemenangan perlumbaan kali ini ternyata membuka kembali ruang memburu kejuaraan tahta WRC dengan lebih cerah lagi walau pun terpaksa bersaing hebat.

Sementara itu, podium kedua juga menjadi milik rakan sepasukan beliau, apabila Elfyn Evans berjaya mengenepikan saingan pemandu Hyundai Motorsport, Ott Tanak ketika peringkat akhir perlumbaan Wolf Power Stage selepas seharian aksi kejar mengejar dengan hanya kelebihan 5.6 saat bagi membolehkan kemenangan 1 – 2 milik Toyota Gazoo Racing.

Dengan podium yang diraih ini membolehkan Elfyn Evans mendahului senarai pungutan mata dengan kelebihan 13 mata di hadapan Sebastien Ogier dan Kalle Rovanpera yang mempunyai mata yang sama.

Tempat keempat menjadi milik Takamoto Katsuta yang ketinggalan 17.5 di belakang Ott Tanak mendapatkan podium ketiga. Adrien Fourmaux melengkapkan senarai lima pemandu teratas juga dengan jentera Hyundai i20 N Rally1.

Dengan berbaki dua lagi pusingan perlumbaan di FORUM8 Rally Japan pada awal bulan November dan di Rally Saudi Arabia pada penghujung November, saingan perebutan tahta dilihat cukup menarik membabitkan tiga pemandu pasukan Toyota sendiri.

Kredit Foto : WRC

BACA : WRC 2025 – SEBASTIEN OGIER MELAKUKAN BUAT KALI KELIMA MUSIM INI DI CHILE

BACA : WRC 2025 – KALLE ROVANPERA UNGGUL DI RALLY ISLAS CANARIAS

Google ads

B K

Back to top button