Buletin

WRX STI S209 – 341hp, SUBARU PALING BERKUASA SETAKAT INI

Subaru biasanya hanya menawarkan model terbaik untuk pengguna di Jepun. Baru-baru ini, pengeluar itu memperkenalkan model WRX STI S209 pada acara Detroit Auto Show 2019. 

Kalau nak tahu, Subaru telah memperkenalkan siri S20(X) di Jepun sejak tahun 2001 menerusi model S201. Versi WRX STI yang dinaik taraf itu lazimnya tampil lebih berkuasa. 

Sama seperti S209 yang dipasang dengan enjin Boxer turbo bersesaran 2.5 liter yang mampu menjana kuasa 341hp. Varian standard WRX STI untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) pula berkuasa 310hp. 

Subaru bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tork yang mampu dihasilkan oleh enjin tersebut. Sebaliknya mengaku bahawa merupakan model produksi paling berkuasa pernah dihasilkannya setakat ini.

 Kuasa ekstra pada model edisi khas itu banyak disumbang oleh turbocharger yang lebih besar. Di samping omboh tempaan serta rod penyambung yang lebih ringan dan kukuh, pam bahan api bersama pemancit lebih besar dan sistem ekzos baharu. 

Sebagaimana yang boleh dilihat, Subaru turut mengembalikan satu ciri klasik yang ada pada model STI tahun 2004 hingga 2007 – sistem penyembur air ke atas intercooler yang boleh dikawal oleh pemandu. 

Sistem itu berfungsi menurunkan suhu udara yang masuk ke dalam enjin, seterusnya membantu menjana lebih kuasa. 

Jentera itu hanya hadir dengan transmisi manual dan pacuan semua roda sebagai ciri standard. 

Subaru juga mendakwa S209 menawarkan pengendalian lebih baik berbanding sebuah STI standard, hasil daripada suspensi dan struktur yang telah dipertingkatkan. 

S209 menggunakan rim aloi BBS bersaiz 19 inci. Ia dibalut oleh tayar Dunlop GT600A yang dibangunkan khas dan lebih lebar berbanding model STI standard. Sistem brek Brembo dengan rotor jenis cross-drilled melengkapkan lagi pakej mekanikalnya. 

S209 sememangnya memiliki penampilan lebih agresif dengan fender yang lebar dan spoiler besar di belakang. Corong pada fender hadapan membantu proses penyejukan. Sementara corong pada fender belakang pula membantu mengurangkan seretan aerodinamik. 

Pada ruang kabin pula, S209 menerima stereng berbentuk D dan tempat duduk Recaro. Lencana S209 dapat dilihat pada bahagian luaran dan dalaman, selain nombor bilangan pada konsol tengahnya. 

Selain Jepun, Subaru WRX STI S209 bakal dijual di AS pada tahun ini. Subaru dikatakan hanya mahu menghasilkan 200 unit S209 sahaja, jauh lebih sedikit berbanding edisi khas STI terakhinya, Type RA. 

GALERI

Google ads
Back to top button