Buletin

GAC-HONDA DEDAH GAMBAR RASMI KEMBAR CR-V, BREEZE GENERASI KEDUA. 1.5L TURBO, BERMULA RM118K

GAC-Honda baru-baru mendedahkan gambar rasmi Breeze generasi kedua serba baharu yang merupakan alternatif kepada Dongfeng-Honda CR-V di China.

SUV itu ditawarkan dalam susun atur lima dan tujuh tempat duduk. Breeze dibina berasaskan kepada Honda CR-V baharu.

Namun, Breeze menggunakan gril lebih kecil, bampar kelihatan lebih besar dan lampu depan LED yang khusus untuknya. Panel badan pula mendapat sentuhan berwarna untuk memberi gayaan yang lebih premium.

Di bahagian belakang, pintunya digayakan semula dengan lampu LED yang disambungkan kepada spoiler belakang.

Dimensi Breeze berukuran 4,716mm, 22mm lebih panjang berbanding CR-V. Jarak roda Breeze adalah 2,700mm, lebih panjang 80mm berbanding generasi pertama.

Ruang kabin Breeze dijangka mirip dengan CR-V. Ini merangkumi ciri Honda 360 sensing, rekaan corong pendingin hawa, paparan instrumen digital dan infotainmen. Ia bagaimanapun akan dibezakan dari segi upholsteri serta kemasan.

Honda Breeze dijana oleh enjin 1.5 liter turbo yang berupaya menghasilkan 190hp dan tork 243Nm, sama seperti CR-V. Kuasa disalurkan sama ada ke roda hadapan atau ke semua roda (AWD) melalui kotak gear CVT.

Kita boleh menjangkakan GAC-Honda akan mengembangkan barisan Breeze dengan penambahan varian hibrid, memandangkan rangkaian kuasa e:HEV hibrid sudah ditawarkan pada CR-V.

Breeze baharu akan mula dijual di China sebelum akhir tahun ini. Harga masih belum diumumkan tetapi ia dianggarkan bermula AS$26,646 (RM118,015), mahal sedikit berbanding CR-V.

GALERI:

Google ads
Back to top button