INI RUPA BAHARU YAMAHA YZF-R25 2025
Yamaha telah pun memperkenalkan barisan model supersport yang akan masuk ke pasaran global pada 2025.
Meskipun YZF-R9 mencuri tumpuan namun pelancaran YZF-R3 turut ada impak signifikan untuk pasaran motosikal di Malaysia meskipun model itu tidak ditawarkan disini. Ini kerana kecuali enjin, aspek reka bentuk dan kelengkapan merupakan ciri yang akan turut dibawa kepada R25 generasi terbaru.
Menariknya bagi tahun 2025, Yamaha R25 akhirnya menawarkan karakter yang selari dengan keluarga YZF Yamaha yang terdiri dari lampu projektor LED dengan DRL (daytime running light). Ciri sama terlebih dahulu telah pun ditawarkan pada R15.
Selain itu, panel sisi juga telah direka semula dan kelihatan lebih ‘sporty’. Kedudukan lampu isyarat sisi juga kini diletakkan lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.
Bahagian ekor juga berbeza dengan panel plastik yang lebih aerodinamik yang turut menempatkan lampu LED baharu.
Ruang kokpit depan juga berbeza dengan panel meter digital LCD baharu yang boleh disambungkan ke telefon pintar. Meskipun ciri ini ditawarkan secara standard pada R3 kami tidak pasti sama ada fungsi sama akan dibawa pada R25 nanti.
Meskipun berlaku perubahan besar pada bahagian rekaan dan kelengkapan ,kami jangkakan R25 generasi terbaru akan mengekalkan enjin yang sama iaitu enjin 2-silinder (parallel-twin) 249cc 4-stroke 8-vavle DOHC yang berupaya menjana 35hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm.
Antara perincian lain yang dijangka dibawa dari R3 kepada R25 termasuk penggunaan casis jenis ‘steel tubular’, fork KYB terbalik 37mm dan rim 17-inci serta klac assist dan slipper. Menariknya, Yamaha menawarkan opsyen tambahan ‘quickshifter’ untuk R3 namun kami tidak pasti sama ada R25 akan turut ditawarkan fungsi sama.
Apa pun sama-sama kita nantikan pelancaran R25 generasi terbaru pada masa akan datang.
GALERI: YAMAHA YZF-R3 2025