RASMI: YAMAHA MT-09 2024 MENDARAT DI MALAYSIA – RM57,998
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan Yamaha MT-09 generasi terbaru untuk pasarna tempatan dengan harga jualan rasmi RM57,998.
Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk reka bentuk lampu baharu, ergonomik dipertingkat, panel meter TFT 5-inci, ‘switchgear’, tayar dan ‘radial master cylinder’ dari Brembo.
Sebelum itu kami ceritakan terlebih dahulu kelengkapan utama yang ditawarkan keluaran 2024 ini.
Yamaha MT-09 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin CP3 tiga silinder 890cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan 119hp dan 93Nm @ 7,000rpm. ‘Bore’ dan ‘stroke’ kekal 78.0mm x 62.1mmdengan nisbah mampatan 11.5:1.
Enjin ini juga dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan dengan bantuan sistem ‘quickshifter’ generasi ketiga Yamaha.
Pakej suspensi pula merangkumi fork USD 41mm dari KYB (boleh laras) sementara bahagian belakang dikendalikan penyerap hentak KYB (boleh laras). Menariknya, ciri ‘spring’ dan ‘damping’ telah ditala semula agar lebih selari dengan tayar baharu yang diperkenalkan.
Tahun 2024 menyaksikan MT-09 dinaik taraf dengan ‘radial master cylinder’ dari Brembo bersama cakera brek (berkembar) 298mm depan dan cakera brek (tunggal) 245mm belakang. Seperti biasa, ABS didatangkan secara standard.
Menariknya, rim 17-inci pada Yamaha MT-09 2024 kini dipadankan bersama tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23 baharu.
Model 2024 ini hadir dengan panel meter TFT 5-inci baharu yang boleh disambung ke telefon pintar selain menawarkan fungsi navigasi menerusi aplikasi Garmin StreetCross (ciri sama terdapat pada Yamaha TMAX 560 baharu).
Terdapat lima mod menunggang ditawarkan merangkumi; Sport, Street, Rain dan dua mod kustom. Juga baharu pada model 2024 ini adalah fungsi ‘back-slip regulator’ yang mengurangkan kejadian tayar belakang dikunci ketika ‘engine braking’.
Tidak cukup dengan itu, Yamaha MT-09 2024 ini juga dilengkap dengan fungsi ‘cruise control’ secara standard dan lampu isyarat yang dimatikan secara automatik jika dipasang lebih 15 saat atau motosikal bergerak lebih 500 kaki.
Bagaimanapun, selain daripada ciri di atas, antara perubahan dilakukan pada keluaran 2024 ini adalah reka bentuk yang telah direka semula.
Pertamanya, lampu LED hadapan, tangki dan bahagian ekor hadir dengan reka bentuk berbeza dan lebih ‘slim’. Dalam bahasa mudah, tiada lagi rupa seakan ‘Transformers’ yang wujud pada model sebelum ini.
Sebelum kami terlupa, MT-09 2024 ini juga hadir dengan dua salur masuk udara (dibahagian tangki) yang didakwa berfungsi menghasilkan bunyi kemasukan udara berfrekunsi tinggi.