GAC GS3 EMZOOM CKD DIPERKENALKAN – VARIAN PREMIUM-R, HARGA BERMULA RM126K
WTC Automotif (M) Sdn. Bhd. (WTCA), anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings Berhad dan pengedar eksklusif kenderaan GAC (ICE dan PHEV) serta AION (BEV) di Malaysia, memperkenalkan model GAC GS3 EMZOOM pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).
Bermula 10 Ogos 2024, WTCA tidak lagi menerima tempahan untuk unit yang dipasang sepenuhnya (CBU).
Pelanggan mempunyai tempahan CBU yang belum dipenuhi akan diberi pilihan untuk menukar tempahan mereka kepada unit CKD.
GAC GS3 EMZOOM CKD akan tersedia dalam varian Premium-R, dengan harga yang sangat kompetitif iaitu RM126,800.
Model ini akan ditawarkan dalam lima warna iaitu:
- Salt Lake Blue
- Asphalt Black
- Superstar Silver
- Graphite Grey
- Frost White
WTCA juga mengumumkan tawaran eksklusif kepada pelanggan yang mengalami tempoh menunggu melebihi tiga bulan serta mereka memilih untuk menukar tempahan daripada CBU kepada CKD.
Mereka akan menerima perkhidmatan tinting percuma bernilai sehingga RM2,100. Tawaran istimewa ini adalah tambahan kepada promosi semasa yang menawarkan perkhidmatan percuma selama setahun atau tiga sesi penyelenggaraan percuma, bersama jaminan selama 5 tahun atau 150,000km.
Bukan itu sahaja, 2,000 pelanggan pertama yang memiliki GAC GS3 EMZOOM akan menerima jam tangan pintar percuma dan jaminan selama 7 tahun atau 180,000km untuk enjin serta transmisi.
Dari segi mekanikal, GAC GS3 EMZOOM dikuasakan oleh enjin 1.5T GDI generasi ketiga yang mampu menghasilkan 177PS pada 5,500rpm dan 270Nm pada 1,400rpm.
Enjin ini digabungkan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan dengan pacuan roda depan.
Kenderaan ini mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa hanya 7.5 saat.
Dengan pelancaran ini, GAC GS3 EMZOOM CKD, ia akan memberikan pelanggan satu lagi pilihan dalam pasaran automotif Malaysia.
Pencapaian ini menandakan satu lagi langkah penting bagi WTCA dalam mengukuhkan kehadiran jenama GAC di Malaysia, sekaligus menyediakan pilihan kenderaan lebih berkualiti dan berteknologi tinggi kepada pengguna tempatan.
GALERI: