BuletinMotosikal

YAMAHA R15 AKAN DILANCARKAN SABTU INI? SPEC INDONESIA ATAU INDIA?

Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) sudah mula mengedarkan jemputan khas kepada  media mengenai pelancaran motosikal model baru pada hujung bulan ini, bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pelancaran tersebut diadakan bersempena Karnival Gen Blu yang dianjurkan Yamaha pada Ahad. Peminat motosikal tempatan juga bakal menyaksikan model baru ini dalam karnival sehari yang diadakan bagi menghargai peminat motosikal Yamaha di Malaysia.

Dari sumber-sumber yang kami terima, model yang dimaksudkan ialah Yamaha YZF-R15.

Ia mungkin terlalu lambat untuk sampai ke pasaran Malaysia kerana secara teknikalnya, R15 sudah masuk ke generasi ketiga.

BACA: SPYSHOT YAMAHA R15 DIUJI

Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2008, R15 adalah varian keluarga “R” terkecil dengan enjin selinder tunggal empat lejang. Kemudian, ia dinaik taraf pada 2014 bagi versi V2 dan pada Januari lalu, versi ketiga (V3) menemui peminatnya di Indonesia dengan gaya yang lebih mengancam.

Persoalan yang bemain di fikiran peminat motosikal tempatan sudah tentunya berkenaan dengan spesifikasi manakah yang akan dipilih Hong Leong Yamaha Malaysia untuk dipasarkan di sini.

Mengikut perkiraan kami, dengan pasaran yang lebih kecil berbanding Indonesia, HLYM mungkin akan memilih spesifikasi tinggi iaitu spec Indonesia berbanding India.

Kelihatan paling jelas ialah sistem suspensi hadapan Indonesia jenis USD berbanding fork teleskopik konvensional untuk spec India.

Logiknya? 

Dengan pasaran yang hanya 10 peratus berbanding keseluruhan jualan di Indonesia dan India, HLYM perlu bertindak biijak untuk memposisikan motosikal ini secara tepat.

Ini R15 spesifikasi India. Paling ketara ialah fork hadapan dan juga pemasangan ‘splash guard’ di belakang

Mengambil model spec rendah seperti di India akan “mengganggu” pasaran 150cc mereka sendiri iaitu moped Y15ZR dan skuter NVX. Ia perlu mengisi kekosongan julat pasaran antara Y15ZR dan R25 secara teorinya.

Dan jika mengikut garis model yang terbaru seperti NVX yang datang dengan spesifikasi tinggi (keyless, ABS), ia adalah varian tertinggi bagi mana-mana negara yang memasarkan NVX/Aerox.

Walaupun lebih kecil, YZF-R15 lebih sofistikated berbanding abang-abangnya yang lain seperti R25 dan R3. R15 V3 ialah yang pertama dalam keluarga kecil menggunakan suspensi teleskopik USD di hadapan. Model terbaru ini dilengkapi teknologi kepala selinder VVA (sama seperti NVX).

Ia juga didatangkan dengan lampu jenis LED depan dan belakang, panel instrumentasi digital LED dengan indikator penukaran gear, tayar lebih lebar dan rekaan baru yang cukup sporty.

R15 yang mewarisi DNA model supersports YZF-R1 itu dibina dengan peningkatan dari segi prestasinya. Jentera tersebut juga popular kerana penampilannya yang garang.

GALERI

 

Google ads
Back to top button