Sejak semalam, berita Exciter 2019 ini tular di media sosial bilamana brosur produk ini terdedah. Daripada apa yang dilihat, Yamaha sudah bersedia membuat pembaharuan pada model supermoped mereka. Dalam satu majlis pelancaran hari ini di Ho Chi Minh, Yamaha Motor Vietnam mendedahkan sepenuhnya model yang dikenali sebagai Exciter 2018 (bukannya Exciter 2019)
Seperti yang kami dedahkan semalam, ia menampilkan perubahan ketara pada bahagian lampu hadapan, bentangan instrumen paparan digital, suis lampu tinggi “pass light”, suis pemati “kill switch” dan tayar lebih hadapan lebih lebar.
BACA: YAMAHA EXCITER 2019. 6 CIRI BARU YANG MENARIK
Ini mungkin informasi yang dinantikan oleh ramai peminat Yamaha di Malaysia. Di zaman teknologi serba maju dan maklumat boleh menyeberang sempadan dalam beberapa saat sahaja, ini adalah imej pertama yang boleh anda lihat. Ia adalah perubahan yang paling besar setakat ini sejak Exciter 150 ini diperkenalkan di pasaran Vietnam pada 2015.
BACA: MODIFIKASI GILA Y15ZR
Dengan sejumlah pembaharuan yang dibuat, terdapat kenaikan harga jualan di sana. Harga asal Exciter RC (standard) ialah 45 juta Dong (RM7,871) manakala harga baru Exciter 2018 ialah 47 juta Dong (RM8,221). Ada kenaikan kecil sekitar RM350. Pada pendapat kami, ia adalah berbaloi dengan kelengkapan baru yang dipadankan padanya.
ADAKAH AKAN MASUK KE PASARAN MALAYSIA?
Jawapannya sudah tentu YA. Akan masuk, cuma persoalannya ialah bila masanya.
Jika mengikut kepada tradisi sebelum ini, ia mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan bulan untuk tiba ke pasaran Malaysia. Sebagai contoh, Model Exciter 150 telah dilancarkan di Vietnam pada Disember 2014. Malaysia menerimanya pada Ogos 2015.
Begitu juga dengan model NVX 155 VVA yang dilancarkan pada Disember 2016 (Indonesia Januari 2017) dan HLYM melancarkan skuter tersebut pada Julai 2017.
Ia adalah perkara biasa dan bukanlah lewat sangat pun sebenarnya julat masa antara pasaran Vietnam/Indonesia dan Malaysia.
Setiap negara mempunyai regulasi kenderaan yang berbeza-beza. Malaysia mempunyai regulasi kelulusan kenderaan yang lebih ketat berbanding mana-mana negara dalam rantau ini. Ujian wajib perlu dilakukan untuk mendapatkan VTA (Vehicle Type Approval) dari pihak berkuasa.
PERLU LULUS UJIAN
Hong Leong Yamaha Malaysia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikannya dengan kelayakan VTA di Malaysia. Selain itu, ia juga perlu diuji untuk mendapat penyesuaian khusus untuk pasaran Malaysia.
BACA: GALERI FOTO RASMI YAMAHA EXCITER 2018
Sebagai contoh, Malaysia satu-satu pasaran Y15ZR yang tidak mempunyai penghidup tendang (kick starter). Lampu isyarat membelok Y15ZR juga lebih “cerah” berbanding spesifikasi Indonesia dan Vietnam. Penghadang lumpur (mudguard) belakang Yamaha Malaysia juga berbeza dengan reflektor binadalam sedangkan Exciter menggunakan refelktor pada bahagian lampu belakang.
Itu contoh beberapa perubahan kecil yang perlu disesuaikan.
Kesimpulannya. Jika mengikut jadual pengeluaran dua model terakhir Exciter dan NVX, kami menjangkakan bahawa Y15ZR V2 ini akan tiba di Malaysia paling awal pada bulan Mei atau selewat-lewatnya Ogos 2019.
kredit foto Autodaily.vn & autobikes.vn
GALERI