
YANGWANG U9 – SEBUAH SUPERCAR ELEKTRIK DARI CHINA, 0-100 KM/J 2.0 SAAT
YangWang – sebuah jenama EV mewah daripada BYD – mengejutkan dunia dengan kehadiran model supercar berkuasa elektrik U9 ketika memperlihatkan SUV off-road berkuasa elektrik U8 yang nampak macam Defender itu.
Konsep rekaan supercar ini menggunakan bahasa “Gate of Time and Space“, di mana ia membawakan unit lampu LED berbentuk C yang agak besar, muncung seakan jentera F1, lampu belakang LED melintang penuh, serta struktur tertutup sekaan liang udara untuk kereta berenjin belakang.

U9 ini menggunakan menggunakan teknologi “Yisifang” dengan konfigurasi empat motor elektrik, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2 saat sahaja.
Kuasa dan daya kilas tidak didedahkan, namun sebagai makluman off-roader U8 yang diperlihatkan baru-baru ini mempunyai empat motor elektrik dengan output keseluruhan melebihi 1,100 hp.

Sistem Yisifang pada SUV U8 juga boleh menawarkan mod pemanduan ketam dan keupayaan berpusing seakan kereta kebal, namun untuk U9 ia mungkin disesuaikan untuk membantu menambahbaik aspek pengendalian dan prestasi di atas jalan raya.
BYD menjelaskan supercar U8 ini bukanlah sebuah konsep, akan tetapi sebuah kereta produksi sebenar.
Ia bakal dilancarkan di China dengan harga jualan melebihi 1 juta yuan (RM640,638).








