
30 PEMILIK KENDERAAN KECEWA DIKENAKAN KOMPAUN RM1K PADA HARI AHAD OLEH MPK, TIDAK MASUK AKAL
Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,000 kepada 30 pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di padang di Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann.
Menurut laporan, mereka meletakkan kenderaan itu selepas menghadiri pertandingan Taekwando peringkat daerah di dewan tersebut.
Jumlah kompaun itu sememangnya mengejutkan, tambahan pula program tersebut dianjurkan pada hari Ahad.

Salah seorang pemilik kenderaan, dikenali sebagai Nantharajan, 43, berkata, “Mereka sepatutnya bertimbang rasa kerana padang itu adalah hak milik awam serta mempunyai akses untuk meletakkan kenderaan di kawasan tepi padang.
“Sepatutnya penguat kuasa memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan berkenaan.
“Kebanyakan yang hadir adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh daerah ini. Kawasan ini juga adalah taman perumahan dan tiada papan tanda larangan meletakkan kenderaan di kawasan itu. Kompaun tersebut amat tidak adil,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Hafiz, 37, pula turut meluahkan kekecewaan dengan sikap tidak bertimbang rasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami mohon MPK lebih bertimbang rasa, jumlah RM1,000 bukanlah jumlah yang sedikit, bayangkan jika hampir semua kenderaan pakir pada hari itu dikenakan kompaun,” katanya.
Dalam pada itu, pihak MPK ketika dihubungi akan berhubung dengan jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Kesemua pemilik kenderaan memohon Yang Dipertua (YDP) MPK untuk mengambil tindakan sewajarnya susulan pengeluaran kompaun yang tidak adil. – Free Malaysia Today









