
YOUTUBER BBNU JAHANAMKAN PAGANI HUAYRA ROADSTER ONE-OFF BAPA SENDIRI
Ini zaman generasi Youtuber, sesiapa sahaja boleh menempah populariti dalam sekelip mata. Ada yang buat duit dan ada ramai juga yang kehilangan duit. Bagi Youtuber remaja ini, banyak penjelasan yang perlu diberikan kerana menghancurkan sebuah Pagani Huayra Roaster one-off milik bapa beliau sendiri.

Merosakkan supercar milik sendiri ini satu insiden yang memalukan tuan-tuan. Nampak sangat kita ni tak layak memandunya kan? Bukan senang nak kawal ledakan kuasa dari enjin supercar ni ye.
Kemalangan ini berlaku di sebatang jalan raya di Dallas, Texas bila pemandunya hilang kawalan seterusnya menyebabkan kereta ini melambung selepas terlanggar tebing jalan dan berakhir dengan menghentam sebatang pokok.

Satu pautan video di media sosial menunjukkan imej supercar tersebut yang rosak teruk dengan penutup hud terbuka luas, fasia hadapan terkopak sana sini, pintu pemandu tercabut dan satu dari tayar hadapan tercabut terus. Bukan itu sahaja, beg udara yang diaktifkan juga menunjukkan yang kemalangan ini adalah agak serius.
Pemandunya ialah Gage Gillean, 17 tahun yang juga pemilik channel Youtube GGExotics. Mamat ini juga merupakan anak kepada Tim Gillean, seorang billionair di Dallas. Sebagai anak billionair, tak hairanlah mamat ini mempunyai akses kepada model-model eksotik seperti Bugatti Chiron, McLaren Senna, LaFerrari, Rolls-Royce Dawn dan Lamborghini Urus. Bapa kaya rupanya, macam filem Anakku Sazali la ni kot?

Dengan tanda harga USD3.4 juta, Huayra Roadster one-off ni merupakan kereta paling mahal dalam koleksi si ayah. Terima kasih nak. Syukurlah tiada pengguna jalan raya lain yang tercedera tapi retak jugaklah tulang lengan mamat ni khabarnya terkena pintu.
Jangan ingat senang nak jadi Youtuber automotif ni deh. Kena pulak time review kereta mahal-mahal. Kena baca doa selalu agar terhindar dari malapetaka.