TAMBAH LEBIH BANYAK MODEL ICE BERBANDING EV, PORSCHE BUAT ‘U-TURN’?
Porsche, pengeluar automotif Jerman, kini menyesuaikan strategi kenderaan elektrik (EV)nya dengan menambah lebih banyak model berkuasa enjin pembakaran.
Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan pelanggan dalam segmen premium yang masih menggemari kenderaan enjin pembakaran.
Sebelumnya, Porsche mensasarkan jualan EV mencapai 80 peratus menjelang 2030, dengan baki 20 peratus diketuai oleh model ikonik 911.
Model ini baru sahaja diperkenalkan dalam versi hibrid untuk kali pertama dalam sejarahnya, tetapi Porsche tidak merancang menjadikannya model elektrik sepenuhnya sehingga tahun 2030-an.
Strategi EV Porsche kini didahului oleh Taycan, sedan elektrik sepenuhnya, diikuti oleh SUV Macan dan model-model elektrik akan datang seperti 718 Boxster/Cayman serta Cayenne.
Namun, laporan dari Carscoops menyatakan bahawa Porsche sedang meneliti cara untuk mengubah suai model-model EV masa depan agar turut menyokong trenkuasa hibrid.
Langkah ini memerlukan masa dan sumber yang besar, terutama untuk model-model berada pada peringkat pembangunan, seperti Macan dan 718 EV.
Sebaliknya, model berpotensi menyokong kedua-dua trenkuasa adalah kenderaan tujuh tempat duduk mewah yang sedang dibangunkan, dikenali sebagai Porsche K1.
Dijadualkan dilancarkan pada 2028, tempoh pembangunan yang panjang memberi ruang kepada Porsche untuk menyediakan versi hibrid menjelang akhir dekad ini.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan Porsche, Lutz Metschke, kemudahan pengeluaran Porsche cukup fleksibel untuk menghasilkan pelbagai trenkuasa pada satu barisan pengeluaran.
“Ramai pelanggan premium masih memilih kereta dengan enjin pembakaran. Kami akan terus menyegarkan model enjin pembakaran seperti Panamera dan Cayenne, serta mengekalkan model hibrid plug-in,” kata Metschke.
Pendekatan ini menunjukkan Porsche bukan sahaja memberi respons kepada peraturan alam sekitar tetapi juga memastikan produk mereka memenuhi kehendak pelanggan setianya.
- BACA: YOUTUBER MENYESAL BELI TESLA CYBERTRUCK, PENAJA TAK BERMINAT – “KAMI TAK NAK DIKAITKAN DENGAN IDEOLOGI PERIBADI ELON MUSK”
- BACA: KEDUDUKAN 200 PEKERJA LOTUS DALAM BAHAYA – NANTI ADALAH REZEKI KAT LAIN
- BACA: EICMA2024: DUCATI PANIGALE DAN STREETFIGHTER V2 2025 – TANPA DESMO, 120HP
- BACA: FERRARI PUN CEROBOH PETAK EV – INGAT KELAKAR LA CUCUK PENGECAS CELAH RIM