EICMA2024: DUCATI PANIGALE DAN STREETFIGHTER V2 2025 – TANPA DESMO, 120HP
Ducati dengan rasminya mengakhiri Ducati World Premiere 2025 dengan dua model baharu menerusi Panigale V2 dan Streetfighter V2 generasi terbaru.
Menariknya, kedua-dua model ini dipacu platform V-Twin 890cc V2 90-darjah serba baharu yang mencuri perhatian ramai pihak. Ini kerana enjin terbaru ini mengguna pakai valve spring’ sekaligus mengetepikan ‘valve Desmodromic’ yang ikonik pada enjin Panigale V2. Ini bermakna, kedua-dua model ini tidak lagi memerlukan servis ‘Desmo’.
Enjin baharu ini berupaya menjana 120hp pada 10,750rpm dan 93Nm pada 8,250rpm namun dengan tork puncak tersedia seawal 3,000rpm. Ini bermakna kawalan menunggang lebih efisien bukan sahaja di litar malah di jalan raya.
Menariknya, enjin V2 terbaru ini juga hanya 54kg sekaligus lebih ringan dari platform parallel-twin 947cc yang diguna pakai pada KTM 990 RC R dengan 57kg.
Ducati Panigale V2
Buat pertama kalinya, pembangunan Panigale V2 bermula kosong berbanding sebelum ini yang sekadar mengikut acuan Panigale V4 namun dengan enjin lebih kecil.
Hasilnya generasi terbaru ini hanya 177kg dan merupakan Panigale V2 paling ringan pernah dihasilkan dan 15kg lebih ringan berbanding keluaran sebelumnya.
Berat yang lebih ringan ini tercapai dengan penggunaan enjin dan casis monocoque aluminium baharu yang hanya seberat 4kg. Reka bentuk ‘swingarm’ juga menyumbang kepada berat yang lebih ringan.
Pengurangan berat yang mendadak juga menyumbang kepada prestasi enjin yang lebih baik meskipun hanya 120hp dan 93Nm berbanding enjin Superquadro yang menawarkan 155hp dan 104Nm.
Ini kerana Ducati mahu memastikan Panigale V2 lebih lincah dan ‘mesra’ di jalan raya namun dengan kuasa mencukupi untuk ditunggang di litar lumba. Aspek praktikal diberi penekanan luas pada pembangunan Panigale V2 baharu ini termasuk ergonomik yang lebih selesa bagi mengurangkan tekanan pada lengan penunggang.
Seperti sebelum ini, Panigale V2 baharu ini juga hadir dengan dua varian, V2 dan V2 S dengan varian Standard dilengkapi dengan fork Marzoccho dan penyerap hentak KYB sementara V2 S pula dipadankan dengan fork Öhlins NIX 30 dan penyerap hentak Öhlins. Panigale V2 S juga mengguna pakai bateri litium-ion.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- rim 120/70-17 depan, 190/55-17 belakang
- tayar Pirelli Diablo Rosso IV
- brek Brembo M50
- cakera brek Brembo 320mm depan
Turut melengkapi Panigale V2 adalah pakej elektronik terbaru menerusi IMU 6-axis yang menawarkan fungsi seperti:
- slide-by-brake
- Ducati Traction Control
- Ducati Wheelie Control
- Ducati Power Launch
- Ducati Pit Limiteer
- Ducati Quick Shift (DQS) 2.0
- Engine Brake Control
- Ducati Power Launch dan Pit Limiter (V2 S)
Ducati Streetfighter V2
Sementara itu, Ducati turut memperkenalkan Ducati Streetfighter V2 dan V2 S bagi tahun 2025. Menariknya, kedua-dua varian ini menawarkan spesifikasi sama seperti Panigale V2 dan V2 S.
Bagaimanapun, perbezaan teknikal utama adalah ergonomik dan geometri sementara bahagian swingarm juga 30mm lebih panjang berbanding Panigale V2.
Kekurangan panel badan juga menyaksikan Steetfighter V2 ini lebih ringan berbanding Panigale V2 dan 18kg lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.
Aspek lain termasuk enjin dan pakej elektronik adalah sama seperti Panigale V2.
GALERI: DUCATI PANIGALE V2 2025
GALERI: DUCATI STREETFIGHTER V2 2025