
PEMILIK TESLA CYBERTRUCK PENING, PARKING TAK MUAT – NAK JUAL TAK BOLEH PULA
Di Amerika Syarikat, isu tempat letak kereta jarang menjadi masalah besar bagi kebanyakan orang. Namun, bagi sesetengah individu, masalah ini menjadi cabaran yang nyata, terutama apabila memiliki kenderaan besar seperti Tesla Cybertruck.
Inilah yang dialami oleh seorang penduduk Salt Lake City, Utah, yang menghadapi kesukaran meletak keretanya.
Menurut Business Insider, pemilik Cybertruck baru ini berhasrat untuk memulangkan kenderaannya kerana ia tidak muat di tempat letak kereta apartmennya.
Tempat letak keretanya berada di sebelah tiang yang juga mempunyai kotak, memerlukan pusingan untuk meletakkan kenderaan.

Dari segi dimensi, Cybertruck berukuran 86.6-inci lebar, 70.5-inci tinggi, dan 223.7-inci panjang. Walaupun lebih panjang daripada Rivian R1T, ia lebih pendek berbanding Ford F-150 Lightning.
Pemiliknya cuba menjual semula kenderaan itu, tetapi terhalang oleh Perjanjian Pesanan Kenderaan Bermotor Tesla yang melarang penjualan dalam tahun pertama pemilikan.
Jika dilanggar, dia boleh didenda AS$50,000 (RM234,858) atau nilai Cybertruck. Permohonan kepada Tesla untuk pengecualian juga ditolak, dengan alasan “keadaan tidak dijangka” tidak mencukupi syarat untuk pembelian balik.
Dalam usahanya mendapatkan bantuan, dia beralih ke media sosial dan menandai Tesla serta CEO Elon Musk. Namun, tiada respon diterima.
Kini, dia terpaksa mencari penyelesaian lain, mungkin dengan menyewa garaj lain atau menggunakan platform seperti Turo.
Isu tempat letak kereta ini menunjukkan bahawa walaupun negara luas, mencari ruang untuk kenderaan besar seperti Cybertruck masih menjadi cabaran.








