Pandu Uji

PEUGEOT 408 PREMIUM. JENAMA CONTI TERMURAH, PALING BERBALOI?

Seperti yang kami ceritakan beberapa minggu lepas Peugeot 408 datang dengan 3 varian utama iaitu GT, Premium dan juga Allure. Berbeza dengan varian GT yang lebih mahal dan lengkap dengan semua peralatan terkini, varian Premium adalah RM 30,000 jauh lebih murah dengan harga RM 166,055

Harga ini meletakkan varian Premium pada posisi yang selesa untuk bertanding dengan pesaing daripada jenama Jepun, Korea dan juga Continental sendiri. Namun adakah penjimatan RM 30,000 tadi berbaloi dengan nilai yang diberi?

Dari segi luaran, Peugeot 408 adalah sat rekaan yang cukup unik dengan kombinasi sedan pada rekaan depan, sisi seperti wagon, bumbung rekaan sportback manakala lantai pula dinaikkan seperti crossover. Ia ,adalah rekaan yang cukup berinovasi dengan menggunakan platform EMP2 V3.

Sepanjang proses pandu uji, 408 kerap kali menerima renungan tajam daripada pemandu atau pejalan kaki yang lain disebabkan bentuknya yang unik. Namun dari segi luaran, varian Premium adalah berbeza sedikit dengan varian GT

Varian Premium akan menggunakan lampu depan LED dengan pemantul, lampu belakang tanpa efek “3D Claw”, dan rim 18 inci rekaan Granite Black yang dibalut dengan tayar Goodyear Assurance. Untuk bahagian dalaman, ciri i-Toggle digantikan dengan butang rotari fizikal untuk penyaman udara.

Sistem audio juga hanya menggunakan 6 pembesar suara biasa dengan sistem multimedia lengkap sambungan Apple Car Play dan Android Auto. Namun ciri lain seperti 3d Quartz meter digantikan dengan meter biasa, kusyen kulit digantikan dengan sintetik, tiada ciri memori, lampu kabin, ciri urutan, kamera 360 darjah dan kemasan pintu hanya menggunakan fabrik.

Malah ciri bumbung kaca suria panaroma juga hanya dikhaskan untuk varian GT sahaja. Namun begitu, varian Premium ada kelebihan lain iaitu mampu menawarkan ruang kargo sebesar 536 liter dan boleh dibesarkan menjadi 1611 liter.

Ini kerana varian Premium tidak perlu menyimpan subwoofer di dalam ruang kargo. Malah ruang kargo juga masih boleh menempatkan tayar simpanan kecemasan berbanding dengan varian GT yang hanya menggunakan kit pembaikan tayar

Tapi jangan risau kerana semua varian masih menggunakan enjin yang sama, iaitu enjin 4 silinder 1600cc turbo Puretech yang menjana sehingga 215 kuasa kuda dan 300Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan transmisi 8 kelajuan bagi memberikan bacaan bahan api sekitar 16.56km bagi setiap liter pada halaju 110-120km/jam

Berbeza dengan pandu uji lepas yang banyak mengunakan laluan lebuh raya, pandu uji 408 Premium kali ini menggunakan jalan persekutuan iaitu melalui Jalan Raya Timur Barat Grik – Jeli yang menggabungkan laluan berselekoh pendek, mendaki, dan menuruni bukit serta laluan berliku sempit

Berikut ialah pemerhatian penulis sepanjang memandu uji Peugeot 408 Premium:

1. Tayar Goodyear Assurance bukanlah tayar yang terbaik untuk 408, dengan tayar ini seperti kurang cengkaman untuk menghantar semua 300Nm tork atas permukaan jalan. Penggunaan tayar ini dan rim 18 juga menghasilkan kesan sedikit torque steer ketika pedal ditekan rapat ke lantai

2. Gear 8 kelajuan automatik memiliki perangai yang sama dengan varian GT, operasinya lancar pada halaju tinggi dan ketika dipandu secara agresif. Namun operasinya terasa kurang lancar apabila dipandu perlahan sewaktu dalam kesesakan jalan raya.

3. Penggunaan tayar bersaiz 18 inci dengan tekanan 230kpa pada roda depan dan 220kpa pada roda belakang menawarkan keselesaan yang lebih baik berbanding dengan rim 20 inci pada varian GT.

4. Dengan jarak antara roda mencecah 2787mm, ia menawarkan ruang dalaman yang cukup bagus bagi penumpang belakang. Namun pada masa yang sama, ia juga menyebabkan 408 GT terasa kurang lincah apabila mengambil selekoh pendek pada halaju tinggi

5. Prestasi dan perangai brek adalah sama dengan varian GT, terasa kurang mencengkam pada pedal brek ditekan namun tetap menggigit apabila ditekan dengan kuat. Pedal brek dan pedal minyak berada pada lokasi yang rapat, memudahkan pemandu melakukan trail braking dengan mudah.

Dalam aspek keselamatan, varian GT dan Premium ditawarkan dengan spesifikasi yang hampir sama kecuali dalam 2 aspek iaitu kamera 360 darjah digantikan dengan kamera undur belakang dan lampu utama adaptif digantikan dengan ciri Auto High Beam sahaja.

Ciri keselamatan lain seperti Traffic Sign Recognition, Active Hoodm Adapative Cruise Control, Brek Kecemasan Automatik, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Tyre Pressure Monitor System adalah sama dengan varian GT

Dengan hanya berbekalkan kamera undur belakang sahaja, penulis mendapati adalah agak sukar untuk memasuki ruang parkir yang sempit dan ia akan berakhir dengan penulis akan parkir dengan senget. Penggunaan kulit sintetik pada kusyen juga menyebabkan bahagian belakang penulis terasa sakit apabila memandu pada tempoh yang lama

Tapi secara jujurnya, harga yang RM 166,055 yang dipinta bagi Peugeot 408 Premium boleh dikira masih lagi berbaloi dengan penawaran rekaan, teknologi serta semua ciri yang ditawarkan. Apatah lagi 408 Premium ini ditawarkan dengan jaminan selama 7 tahun dan 5 tahun servis percuma

Google ads
Back to top button