Buletin

YZF-R15 PASARAN INDIA TERIMA WARNA BAHARU ‘DARK KNIGHT’ – SPESIFIKASI MASIH SAMA, 18.4HP, HARGA RM10K

Yamaha baru-baru ini melancarkan skema warna baharu ‘Dark Knight’ untuk YZF-R15 di pasaran India.

Menurut Yamaha, YZF-R15 dengan skema warna ‘Dark Knight’ ini menyerlahkan lagi sisi estetika jentera itu selain tampil lebih elegan.

Melihat lebih terperinci, YZF-R15 ‘Dark Knight’ dikemaskan dengan warna hitam serta padanan aksen emas pada pelekat dan rim aloi. Sekali pandang, ia mengingatkan kita pada Yamaha generasi terdahulu, YZF-R6 atau YZF-R1 yang menerima corak warna Raven.

Dari segi penggayaan, YZF-R15 direka bersama fairing yang dinamik bersama windscreen selain terdapat lampu utama LED dwi-fungsi serta panel instrumen LCD.

Secara mekanikal, jentera ini masih dikuasakan enjin 155cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair. Dipadankan bersama sistem pancitan bahan api Variable Valve Actuation (VVA), ia berupaya menghasilkan 18.4hp dan 14.2Nm tork.

Selain itu, tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera hadapan dan belakang serta dilengkapi sistem brek anti kunci(ABS) dua saluran.

Untuk harga dan ketersediaan, Yamaha menawarkan YZF-R15 ‘Dark Knight’ pada tanda harga AS$2,200 (RM10,083) di pasaran India.

Google ads
Back to top button