
YAMAHA YZF-R15 DAN YZF-R125 2023 UNTUK JEPUN, RM17.5 RIBU DAN RM16.5 RIBU
Selepas beberapa negara Asia kini giliran Jepun menerima Yamaha YZF-R15 2023. Menariknya bukan satu dan YZF-R125 turut diperkenalkan serentak dan diedarkan pada 16 Oktober.
Motosikal tersebut ditawarkan susulan peningkatan pelanggan aras permulaan terutama sekali yang berusia dalam lingkungan 20-an.
Selain mengembangkan siri YZF-R, Yamaha juga mahu mewujudkan kategori motosikal yang memudahkan penunggang baharu untuk berjinak dalam dunia motosikal.

Kedua-dua YZF-R15 ABS dan YZF-R125 ABS dibangunkan mengikut spesifikasi Jepun.
YZF-R15 ABS digerakkan enjin 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan 19 PS pada 10,000 rpm dan tork 14Nm pada 7,500 rpm.
Lejang dan gerek berukuran 58 mm x 58.7 mm dan mempunyai nisbah mampatan 11.6:1.

YZF-R125 ABS pula digerakkan enjin 124cc VVA dengan kuasa 15 PS pada 10,000 rpm dan tork 12Nm pada 8,000 rpm. Lejang dan gerek berukuran 52 mm x 58.7 mm dengan nisbah mampatan 11.2:1.
Kedua-duanya dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch dan Sistem Kawalan Cengkaman seperti YZF-R1. Penukar cepat pula dijadikan aksesori pilihan.
Satu lagi teknologi ialah sistem pintasan termostat yang menukar laluan cecair penyejukan bergantung kepada suhu dan memendekkan masa pemanasan dan menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Kedua-dua model dibekalkan tangki petrol 11 liter. Dari segi reka bentuk, reraut depan mempunyai nilai pekali seretan aerodinamik (CdA) 0.293 dan memberikan kestabilan cemerlang pada kelajuan tinggi.
Untuk dimensi, R15 dan R125 berukuran lebar 725 mm dan tinggi 1,135 mm. R15 sedikit panjang dengan ukuran 1,990 mm berbanding 2,030 mm pada R125.
Tinggi pelana ialah 815 mm dengan jarak kelegaan bumi 170 mm. Walaupun berbeza sesaran enjin, kedua-dua model mempunyai berat yang sama iaitu 141 kg.

Di antara perkakasan yang membantu pengurangan berat ialah lengan ayun aluminium ringan. Saiz tayar juga sama iaitu 100/80-17M/C 52P di depan dan 140/70-17M/C 66S di belakang.
Meter LCD mempunyai dua mod iaitu Street yang memaparkan maklumat tunggangan di dalam bandar manakala mod Track pula maklumat yang diperlukan di litar.
Berkenaan harga, YZF-R125 ABS dijual pada 517,000 yen (RM16,457) dan 550,000 yen (RM17,508) untuk YZF-R15 ABS.

BACA: YAMAHA TÉNÉRE 700 ABS 2024 DIPERKENAL DI JEPUN, RM44 RIBU
BACA: YAMAHA BUAT STERENG BERKUASA (EPS) UNTUK MOTOSIKAL!
BACA: YAMAHA GIAT BANGUNKAN SISTEM PENSTABILAN KENDIRI (AMSAS) – BANTU ELAK RISIKO KEMALANGAN
BACA: YAMAHA 135LC Fi TAMPIL DENGAN WARNA BAHARU, HARGA BERMULA RM8,298
Yamaha YZF-R15 2023












Yamaha YZF-R125 2023




















